Rabu, 13 Julai 2016

Tahniah Portugal


Syabas dan sekalung tahniah buat juara Eropah yang baru iaitu Portugal kerana berjaya menjulang kejuaraan Euro 2016.

Ternyata dalam permainan bola sepak, nasib kadang-kala diperlukan jika sesebuah pasukan itu ingin menjadi juara. Inilah yang terjadi kepada Portugal kerana dalam enam perlawanan yang dilalui dari saingan peringkat kumpulan sehinggalah ke perlawanan akhir, Portugal hanya berupaya menang sekali sahaja dalam tempoh masa normal iaitu 90 minit ketika menentang Wales.

Portugal gagal untuk memenangi tiga perlawanan di peringkat kumpulan dan hanya layak ke pusingan kalah mata selaku salah satu daripada tiga pasukan menduduki tempat ketiga terbaik. Portugal membuat kejutan menewaskan Croatia menerusi gol tunggal di masa tambahan. Di saingan suku akhir, Portugal mengalahkan Poland melalui penentuan sepakan penalti.

Ketika bertemu Wales di perlawanan separuh akhir, Portugal berjaya meledakkan dua gol dalam masa normal perlawanan. Namun, di pertembungan terakhir Euro 2016, Portugal memerlukan gol di masa tambahan untuk menafikan hasrat pasukan tuan rumah, Perancis yang sebelum itu dilihat sebagai pilihan untuk menjadi juara.

Kejayaan Portugal menjulang Euro 2016 memberikan satu impak yang cukup positif kepada kecemerlangan Ronaldo yang sebelum ini hanya mampu menyinar di peringkat kelab sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan