Isnin, 20 Oktober 2014

Puas hati bro


Setelah agak lama tidak menjejakkan kaki ke SDA, akhirnya malam tadi, aku telah menjadi salah seorang daripada puluhan ribu penyokong hijau kuning yang meraikan kejayaan Kedah apabila menumbangkan skuad Tok Gajah. Kedah mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Pahang tatkala dua gol, satu untuk Kedah dan satu lagi untuk Pahang dijaringkan semasa perlawanan berada di masa tambahan.

Mood penyokong Kedah rata-rata gembira dan berkeyakinan sebelum perlawanan berlangsung. Ini adalah kerana Kedah berjaya mengecewakan Kelantan di peringkat suku akhir Piala Malaysia (PM) baru-baru ini walaupun tewas 1-3 kepada Kelantan dalam perlawanan pusingan pertama. Beraksi di halaman sendiri, ternyata menjadi platform terbaik buat Kedah dalam menampilkan aksi yang kemas sekaligus mengecapi kemenangan.

Kedah seharusnya boleh menghasilkan lebih dari tiga jaringan jika tidak kerana kegopohan dalam mencari penyudah. Dengan Pahang memperoleh satu gol di tempat lawan, Kedah tidak boleh menganggap kelebihan dua gol yang dimiliki cukup selesa. Kedah perlu berwaspada dan berhati-hati ketika aksi perlawanan pusingan kedua di Kuantan nanti.

Pujian harus diberikan kepada pemain muda Kedah, Farhan yang beraksi dengan cukup cemerlang di bahagian sayap. Larian lincahnya kerap mengucar-kacirkan pertahanan Pahang sehinggakan Farhan terpaksa dikasari bagi menyekat pergerakannya. Kecemerlangan Farhan dibuktikan apabila beliau meledakkan gol kedua Kedah menerusi tandukan menarik selepas menyambut umpanan Baddrol.

Bahagian pertahanan Kedah juga beraksi dengan kemas walaupun terdapat beberapa situasi yang cukup getir ketika Pahang menyerang. Pahang hanya mempu memperoleh gol menerusi situasi bola mati selepas terpaksa berhempas-pulas dalam usaha mendapatkan gol secara permainan terbuka. Khairul Helmi ternyata menjadi penghalang utama Pahang dalam menidakkan peluang mendapatkan gol.

Aksi di Kuantan pada 24 Oktober nanti akan menyaksikan Pahang berusaha bersungguh-sungguh bagi mengetepikan cabaran Kedah memandangkan skuad Tok Gajah merupakan juara PM edisi 2013. Namun, Kedah bukanlah pasukan yang boleh dipandang mudah dan kelebihan 3-1 yang dimiliki tidak seharusnya dipersia-siakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan