Khamis, 13 Jun 2013

Hat mana MU berkenan ni? Hat mana dah kelat hati


Serba sedikit ulasan aku tentang perpindahan pemain yang melibatkan MU.

1. Robert Lewandowski


Penyerang yang berbakat dan berkemahiran tinggi. Membuktikan kemampuannya bukan sahaja dalam meledakkan gol apabila bertemu pasukan yang lemah, tetapi berupaya untuk menonjol ketika berhadapan dengan pasukan kuat, sebagai contoh ketika Lewandowski menjaringkan empat gol buat Borussia Dortmund untuk mengalahkan Real Madrid dalam UCL.

Dengan susuk tubuh yang tinggi, Lewandowski juga berkesan dalam situasi bola tinggi. Lewandowski ternyata memahami peranan utama nya dalam sesebuah pasukan iaitu menjadi penjaring gol dan jarang terlibat dalam pelancaran serangan. Corak permainannya boleh dikatakan seakan-akan bekas penyerang MU iaitu Nistelrooy. 

Namun pembelian Lewandowski bergantung kepada status Rooney di OT untuk musim hadapan. Jika Rooney tidak lagi bersama MU, pastinya Lewandoski menjadi sasaran terbaik buat MU untuk mengepalai bahagian serangan, tambahan pula peluang untuk membelinya agak luas setelah Borussia Dortmund tidak mahu melepaskannya kepada Bayern Munich.


2. Cesc Fabregas

 

MU dilihat cuba mencari pemain yang sesuai untuk menjadi pasangan utama Carrick di bahagian tengah. Selepas Keane meninggalkan MU, bahagian tengah MU tampak kurang mantap kerana dikatakan tidak mempunyai pemain yang bertindak sebagai penguasa di tengah padang. Namun, corak permainan kebanyakan pasukan sekarang lebih kepada membuat hantaran tepat dan cepat, pemain sebegitu tidak diperlukan sangat. SAF juga telah mengubah corak permainan MU bagi menyesuaikan bahagian tengah MU dengan tiadanya pemain yang melakukan terjahan atau bentesan keras.

Yang penting adalah keupayaan membaca permainan lawan dan memintasnya dengan secepat mungkin bagi menghalang serangan dengan lebih awal. Ini yang dilakukan oleh Carrick selama ini dan tugas ini turut memerlukan kebijaksanaan daripada pasangan tengahnya. 

Cleverley mampu untuk membuat hantaran dengan cepat dengan satu sentuhan sahaja tetapi kurang berkesan dapat mengekang pergerakan tengah lawan. Anderson pula boleh mengawal bahagian tengah tetapi tidak begitu efektif dalam membantu ketika bertahan dan tidak kerap naik ke atas membantu bahagian serangan.

Jadi, Fabregas boleh dikatakan gabungan antara Cleverley dan Anderson selain sudahpun mempunyai pengalaman dan kematangan dalam aksi di BPL. Fabregas dapat peluang beraksi dengan kerap ketika musim pertamanya di Barcelona tetapi musim kedua menyaksikan Fabregas jarang diturunkan. Fabregas pastinya akan menjadi tonggak utama jika menyertai MU musim panas ini.


3. Cristiano Ronaldo


Satu nama yang tidak asing lagi buat MU. MU dikatakan menggunakan segala sumber yang ada termasuk bantuan daripada Chevrolet dan Nike bagi mendapatkan CR semula. Walaubagaimanapun, Real Madrid diberitakan bersedia untuk menawarkan kontrak baru hampir 30 juta pound setahun kepada CR yang merangkumi gaji, bonus dan hak imejnya berbanding kontrak MU sekitar 15 juta pound.

Tetapi jika Real Madrid berjaya mendapatkan Bale dengan yuran perpindahan termahal dunia iaitu 85 juta pound, MU dirasakan mampu memikat semula CR kerana Real Madrid pasnya menginginkan jumlah dana yang besar dan penjualan CR dilihat mampu meningkatkan sumber kewangan.


4. Ezequiel Garay


Memandangkan Ferdinand akan mencecah usia 35 tahun pada tahun ini di samping Vidic dan Evra yang masing-masing berusia 32 tahun, MU memerlukan pemain pertahanan yang baru. Pembelian Varela tampak lebih kepada persediaan masa hadapan selain menjadi 'under-study' kepada Rafael.

Jones, Evans dan Smalling merupakan pemain muda yang bagus tetapi kurang daya kepimpinan untuk mengarahkan dan menyusun bahagian pertahanan. Jadi, Garay yang berusia 26 tahun akan memberikan kematangan kepada bahagian pertahanan MU.

Corak permainan Garay dikatakan sama seperti Ferdinand iaitu bijak membaca permainan lawan dan mempunyai sedikit kreativiti dalam menggerakkan serangan dari bawah.  Garay bukan sahaja mampu membuat larian sambil mengawal bola malah berupaya melakukan hantaran jauh yang tepat.


5. Marouane Fellaini


Akan memberikan kelebihan ketinggian kepada mana-mana pasukan terutamanya ketika situasi bola mati. Dibeli oleh Everton pada awalnya sebagai pemain tengah defensif tetapi kebolehannya menyesuaikan diri membolehkan Fellaini beraksi sebagai 'back-up striker'.

Fellaini tampak lebih menyerlah dengan peranan barunya dan dilihat menjadi penyokong yang sesuai buat RVP di bahagian serangan MU. Fellaini cukup berkesan untuk 'hold-up' bola sementara menanti rakan-rakan memberikan bantuan. Tetapi Fellaini tidak mempunyai kemahiran dalam membuat hantaran-hantaran jauh bagi membuka permainan ketika melancarkan serangan.


6. Leighton Baines



Setakat ini, Everton dikatakan hanya akan melepaskan Baines jika MU membuat tawaran yang tinggi iaitu sekitar 15 juta pound. Walaubagaimanapun, MU agak sukar untuk mengeluarkan belanja yang besar bagi mendapatkan Baines yang kini berusia 28 tahun kerana melepasi had polisi MU yang hanya akan berbelanja besar untuk pemain di bawah berusia 26 tahun.

Selain itu, dengan Evra hanya sedikit berusia, Baines dilihat akan saling berebut dengan Evra untuk slot pertahanan kiri melainkan Evra yang diberitakan cuba dibeli oleh bekas kelabnya, Monaco benar-benar berhijrah keluar dari MU. Jika yuran perpindahan Baines tidak dapat dikurangnya, MU sudahpun mempunyai pelan tambahan di mana MU mensasarkan pemain muda Southampton iaitu Luke Shaw.


7. Thiago Alcantara dan Yohan Cabaye

Mampu untuk memperkuatkan bahagian tengah MU. Walaubagaimanapun, jika MU masih lagi mengekalkan Cleverley dan Anderson, rasanya tidak perlu untuk MU berbelanja besar bagi mendapatkan salah seorang daripada Thiago dan Cabaye.


8. Nani


Antara dirinya dengan Young dan Valencia, Nani tampak menjadi salah seorang pemain yang akan meninggalkan MU pada musim panas ini. Nani tidak menunjukkan aksi dengan prestasi yang konsisten dan hanya mampu beraksi di satu posisi sahaja iaitu pemain sayap. Berbeza dengan Young yang boleh diletakkan sebagai 'attacking midfielder' atau 'back-up striker' dan Valencia yang turut boleh diturunkan sebagai pertahanan kanan waktu kecemasan.

Nani mungkin terpaksa berhijrah ke kelab lain bagi memberikan ruang kepada Zaha yang akan menyertai MU untuk musim hadapan. Dengan gaji yang agak tinggi, MU sukar untuk terus menggunakan khidmat Nani tatkala prestasinya tidak begitu bagus.


9. Wayne Rooney


Rooney mungkin masih mempunyai peluang untuk beraksi dengan MU pada musim hadapan terutamanya setelah menjadi model pemain dalam memperagakan kit jersi terbaru MU. Tidak dinafikan Rooney merupakan antara pemain terbaik dunia tetapi prestasinya yang merosot pada musim lepas menyebabkan SAF sedikit gusar dengan sumbangan yang akan diberikan oleh Rooney.

Tugas selaku peledak utama MU yang digalas oleh Rooney untuk sekian lama telahpun beralih kepada RVP. Jadi, kini menjadi isu utama adalah peranan yang terbaik untuk diberikan kepada Rooney. DM perlu bertindak dan mengambil keputusan sewajarnya dengan isu Rooney bagi memastikan prestasi MU langsung tidak terjejas sama ada Rooney kekal di MU ataupun tidak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan