Dalam perlawanan LPM baru-baru ini, Kedah telah berjaya mencatatkan kemenangan besar dengan membelasah pasukan di tangga tercorot liga, NS Betaria FC dengan keputusan 5-0. Kemenangan besar tersebut berjaya diraih dalam keadaan di SDA kelihatan lengang gara-gara kurangnya kehadiran penonton mahupun penyokong ke stadium.
Tetapi apakan daya, prestasi yang ditunjukkan oleh Kedah untuk sepanjang musim ini bolehlah dikatakan seperti yo-yo. Kedah gagal menjadikan SDA sebagai kubu kuat untuk mengutip tiga mata penuh apabila mencatatkan beberapa keputusan yang mengecewakan sekaligus menghampakan orang ramai yang menjejakkan kaki ke SDA.
Kembalinya Nelson ke pangkuan Kedah merupakan keputusan yang agak bijak. Walaubagaimanapun, Nelson ketika ini, tidaklah sama seperti Nelson empat lima tahun lepas memandangkan usianya sudahpun melepasi 30 tahun dan pastinya kudratnya sedikit berkurangan. Namun, idea kreativiti dan ketenangan Nelson amat diperlukan oleh Kedah memandangkan Kedah mengalami kelemahan yang ketara di bahagian tengah.
Nelson masih lagi berupaya menjadi nadi perancang Kedah musim ini
Ketiadaan penyerang yang berwibawa turut menyumbang kepada kemerosotan prestasi Kedah. Marlon yang dikatakan berminat untuk menyertai Kedah pada musim lepas gagal ditawarkan dengan gaji yang menarik sekaligus menyebabkan Marlon menyertai ATM di mana Marlon masih lagi berupaya memberikan sumbangan bermakna tatkala usianya boleh dikatakan lanjut.
Pemain-pemain Kedah yang pernah memiliki pengalaman menyarung jersi kebangsaan seperti Baddrol, Khyril, Sabree dan beberapa nama lain gagal menjadi tonggak yang benar-benar berksan buat Kedah. Pemain muda Kedah yang diberikan peluang beraksi dengan skuad senior negeri gagal menterjemahkan sepenuhnya potensi dan bakat yang ditunjukkan ketika bermain di peringkat bawahan.
Kedah tampak bakal berhadapan tugas berat untuk menghadapi saingan Piala Malaysia yang akan diadakan selepas sambutan Eidulfitiri nanti selepas Tot mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak sebagai jurulatih Kedah. Seharusnya, ketika ini, walaupun saingan LPM masih belum berakhir, Kedah perlu mengambil tindakan proaktif bagi mendapatkan jurulatih baru. Sekurang-kurangnya, jurulatih baru dapat memastikan para pemain Kedah menjalani sesi latihan sewaktu bulan Ramadhan nanti sebagai persediaan.
Terima kasih Mr. Tot atas jasa dan sumbangan anda....
Di bawah pengurusan baru KFA, rata-rata peminat Hijau Kuning mengharapkan Kedah mampu untuk bangkit dan menjadikan peringkat suku akhir Piala Malaysia nanti sebagai sasaran minimum Kedah. Jika para pemain benar-benar menunjukkan kesungguhan untuk menampilkan persembahan bertenaga dalam kempen Piala Malaysia nanti, tidak mustahil SDA akan kembali dipenuhi oleh ribuan peminat dan penyokong skuad Hijau Kuning.
PULUN KEDAH PULUN!!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan