Kedah menafikan segala kebarangkalian apabila berjaya melayakkan diri ke separuh akhir Piala FA dengan menumpaskan T-Team dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan pusingan kedua suku akhir yang berlangsung di Kuala Terengganu. Kemenangan tersebut membolehkan Kedah mengadakan pertemuan dengan Kelantan dan perlawanan dua pusingan separuh akhir akan berlangsung pada April ini.
Kedah berada di bawah tekanan apabila berkunjung ke Terengganu tanpa kelibat penyerang utama, Meen yang terpaksa menjalani pergantungan perlawanan. Selain itu, Kedah juga kehilangan khidmat beberapa pemain utama seperti Thiru, Amar gara-gara mengalami kecederaan.
Jadi, tugas untuk menggempur kubu T-Team pada perlawanan malam tadi digalas oleh penyerang import, Hamidan yang dikhabarkan berkemungkinan akan disingkirkan dari skuad Kenari pada bulan hadapan. Ini adalah kerana Hamidan gagal meledakkan sebarang gol malah tidak menampakkan sumbangan yang efektif buat pasukan.
Hamidan ternyata membalaskan kepercayaan jurulatih Kedah, Wan Jamak dan pihak pengurusan dengan membuktikan kemampuannya meledakkan dua gol buat Kedah sekaligus memberikan kemenangan yang cukup berharga kepada skuad hijau kuning itu. Walaupun agak tenggelam dalam separuh masa pertama, Hamidan bangkit untuk menjadi pemusnah harapan T-Team apabila menjaringkan dua gol yang turut dibantu oleh seorang lagi pemain import Kedah, Safi.
Kedah boleh dikatakan memiliki majoriti penguasaan bola terutamanya dalam separuh masa pertama. Namun, ianya gagal diterjemahkan kepada gol kerana bahagian tengah Kedah yang dikemudikan oleh Safi dan Bad tidak berjaya membuat 'final pass' yang mampu meloloskan penyerang Kedah selain Hamidan dan Faizal yang dikekang rapi oleh pertahanan T-Team.
Kedah bermain dengan tersusun dengan hantaran-hantaran yang kemas yang terarah pada kawasan tengah berdasarkan formasi 3-3-2-2 tanpa menggunakan khidmat pemain sayap. Pada separuh masa kedua, Kedah melakukan sedikit perubahan dengan mula menggerakkan bola dari kawasan tepi. Ini sekaligus hantaran silang dapat dilakukan. Hasilnya, dua hantaran silang oleh Safi berjaya disudahkan oleh Hamidan untuk meledakkan dua gol.
Barisan pertahanan Kedah boleh diberikan pujian apabila mampu untuk menghadapi serangan T-Team yang diketuai oleh Zairo sepanjang 90 minit perlawanan. Satu gol yang diperoleh T-Team adalah berpunca kekalutan dalam kotak penalti serta kegagalan pemain Kedah untuk mengeluarkan bola dari situasi merbahaya.
Kedah menunjukkan peningkatan yang cukup memberangsangkan selepas kembalinya Wan Jamak. Jika para pemain Kedah bermain dengan penuh disiplin dan mengikut strategi dan taktikal yang telah diaturkan oleh Wan Jamak, pasti Kedah bakal memberikan kejutan buat skuad Kelantan yang dilihat agak kuat kerana dibarisi pemain-pemain yang terama.
Komen aku:
Midan ni bleh lagi main untuk Kedah, cuma cam orang duk habaq sebelum ni, bola jarang sampai kat dia. Bagi aku, Midan ni sesuai untuk jadi targetman dan bukannya supporting role yang sebelum ni duk belakang Meen. Senang cakap, Midan ni pure striker, kira kaki boh gol ja. Dribble ka, buka game ka, jadi link midfield-forward ka, memang takleh. Cara Midan ni ala-ala RVN, kalu dapat bola kat dia dan pintu gol lawan kat belakang dia, memang dia hanya akan tahan bola dan pass balik kat kawan. Tadak aih nak gelecek pusing-pusing. Sebab tu aku rasa Meen kena tolak pi men winger balik. Kalu ikut aku, Kedah main guna formasi 4-2-3-1
Mie Yeh (Keeper)
Thiru (Rightback) - Azmizi (Centreback) - Ustad (Centreback) - Sabree (Leftback)
Keon (Defensive midfield) - Amar (Holding midfield)
Meen (Attacking midfield right) - Safi (Attacking midfield centre) - Bad (Attacking midfield left)
Midan (Targetman)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan