Dalam pusingan kedua Piala FA yang akan berlangsung esok malam, Kedah menanti kunjungan negeri jiran iaitu Perlis di Stadium Darul Aman (SDA). Ianya bakal menjadi tumpuan kerana perlawanan tersebut bukan sahaja dikatakan sebagai 'Northern derby' tetapi bakal menjadi pentas menyaksikan dua buah pasukan yang beraksi dalam liga yang berlainan.
Kedah ternyata menjadi pilihan kerana beraksi dalam Liga Super manakala Perlis kini menghadapi saingan dalam Liga Perdana pada musim ini. Walaubagaimanapun, Kedah tidak seharusnya memandang mudah cabaran yang akan ditampilkan oleh Perlis pada esok malam.
Kemenangan ke atas Selangor baru-baru ini dilihat bakal menjadi pemangkin kepada peningkatan prestasi Kedah setakat ini. Kepulangan semula Wan Jamak untuk mengemudi skuad Kenari turut menyumbang kepada persembahan yang memuaskan. Sejak Wan Jamak kembali bertugas dan menyediakan pasukan bagi tiga perlawanan terakhir, Kedah berjaya mencatatkan dua kemenangan dan satu keputusan seri.
Selain itu, kem Kedah juga ceria apabila pemain tengah importnya, Safi berjaya menambat hati para peminat skuad hijau kuning dengan aksi yang begitu membanggakan. Safi seolah-olah menjadi fenomena baru buat rakyat Kedah yang sememangnya boleh dikatakan mempunyai minat yang mendalam dalam memberikan sokongan buat negeri. Prestasi Safi setakat ini mengimbau kembali corak permainan yang ditunjukkan oleh bekas pemain import Kedah, Nelson ketika di zaman cemerlang Kedah beberapa musim lepas.
Kehadiran Safi telah memberikan pengaruh positif kepada pemain Kedah lain seperti Kyril yang kini menampakkan ketajaman di hadapan gawang gol lawan. Jentera tengah Kedah juga semakin mantap memandangkan beban yang sebelum ini hanya dipikul oleh Baddrol telah diimbangkan oleh Safi.
Kelemahan yang agak ketara buat Kedah ketika ini adalah ketiadaan pemain sayap yang benar-benar berkesan. Kebanyakan pemain Kedah yang diletakkan di posisi tersebut gagal memainkan peranan yang efektif selain memerlukan bantuan yang kerap daripada fullback. Secara tidak langsung, kekerapan fullback Kedah untuk naik ke atas akan menyebabkan pertahanan Kedah menjadi sedikit goyah.
Jadi, Kedah perlu memanfaatkan lorongan dan hantaran yang akan dilakukan oleh Safi ketika bertemu Perlis nanti. Formasi 4-4-1-1 dilihat sesuai untuk corak permainan Kedah ketika ini dengan seorang lagi pemain import Kedah, Hamidan menjadi targetman dan dibantu oleh Kyril. Barisan tengah pula akan dibarisi oleh Baddrol, Safi, Amar dan Latiff. Fauzi, Thiru, Azmizi dan Sabree akan beraksi di bahagian pertahanan di hadapan Helmi selaku penjaga gol Kedah.
Aku menjangkakan SDA akan dipenuhi dengan lautan hijau kuning sepertimana yang telah dilakukan ketika Kedah bertemu Selangor. Mungkin jumlah penonton yang pergi ke SDA akan mencecah 30 ribu orang memandangkan kemungkinan terdapatnya segelintir penyokong Perlis yang turut ingin memberikan sokongan kepada pasukan Perlis. Berdasarkan peningkatan persembahan Kedah sejak kebelakangan ini, Kedah mampu untuk melayakkan diri ke peringkat suku akhir dengan menewaskan Perlis sekurang-kurangnya 2-0.
PKP!!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan