Selasa, 12 Ogos 2014

Sapa yang nak masuk MU sebenaqnya ni


Walaupun telah mempunyai dua pemain baru iaitu Luke Shaw dan Ander Herrera, MU sebenarnya memerlukan sekurang-kurangnya tiga pemain lagi untuk memperkuatkan skuad bagi mengharungi musim baru yang pastinya amat mencabar.

Sehingga kini, MU telah dikaitkan dengan beberapa pemain seperti Nigel De Jong, Daley Blind, Kevin Strootman, Angel Di Maria, Juan Cuadrado dan Mats Hummels. Thomas Vermaelen yang sebelum ini dikatakan berminat untuk menyertai MU telah membuat keputusan berhijrah ke Barcelona selepas MU menolak cadangan Arsenal untuk memasukkan Smalling dalam pakej pembelian Vermaelen.


Nigel De Jong

Merupakan pemain defensif yang keras dan mempunyai stamina yang tinggi. Jadi, De Jong amat sesuai untuk dalam formasi 3-5-2 yang akan digunapakai oleh MU musim ini kerana bukan sahaja dapat memberikan perlindungan kepada bahagian pertahanan malah mampu untuk memberikan sokongan ke bahagian atas jika perlu.

Selain itu, De Jong turut berkemampuan membuka permainan menerusi hantaran-hantaran jauh dan tepat. Tatkala MU tidak dapat menggunakan khidmat Carrick yang mengalami kecederaan, De Jong sememangnya dapat memberikan pilihan kepada bahagian tengah MU.


 Daley Blind

Pemain pertahanan yang boleh beraksi sama ada di tengah ataupun sebagai 'wing back'. Blind berjaya mencuri tumpuan ramai apabila menunjukkan kecemerlangannya ketika beraksi bersama Belanda dalam kejohanan Piala Dunia baru-baru ini.

Dengan keupayaan kaki kiri, Blind boleh diturunkan sebagai salah satu trio pertahanan tengah MU bersama Jones dan Evans di samping bertindak selaku pesaing dengan Shaw dalam perebutan di posisi 'wing back' kiri. Blind juga memiliki larian yang deras serta mampu melepaskan rembatan dari luar kotak penalti.


Kevin Strootman

Jika tidak direhatkan dalam tempoh masa yang lama, Strootman pastinya menjadi pilihan utama LVG dalam pembelian pemain baru untuk MU.Mempunyai corak permainan yang seakan-akan sama seperti Carrick, Strootman menjadi nadi utama AS Roma sejak berpindah dari PSV Eindhoven.

Walaubagaimanapun, kecederaan yang menimpa dirinya menyebabkan Strootman terlepas untuk beraksi dalam Piala Dunia di Brazil. LVG tampak seperti menangguhkan dulu hasrat untuk membawa Strootman ke MU musim panas ini dan akan mencuba mendapatkannya semula pada tingkap perpindahan Januari nanti.


Angel Di Maria

LVG amat memerlukan pemain sayap yang berkaliber seperti Di Maria. Walaupun pada hakikatnya Di Maria merupakan pemain sayap, tetapi Di Maria membuktikan kemampuan dan kebolehannya apabila beraksi di bahagian tengah sepertimanya yang telah ditunjukkannya ketika musim lepas bersama Real Madrid.

Kelincahan dan kepantasan Di Maria amat berguna ketika membuat serangan balas pantas. Selain itu, Di Maria juga boleh menjadi 'game changer' bagi sesebuah pasukan memandangkan Di Maria mampu mengawal rentak permainan dan mempunyai pengetahuan taktikal yang baik.


Juan Cuadrado

Menarik perhatian MU kerana Cuadrado boleh bermain sebagai 'wing back' kanan. Dengan berita terbaru mengatakan LVG tidak berminat untuk menggunakan khidmat Rafael dan prestasi Valencia yang tidak menentu, Cuadrado menjadi pilihan MU untuk mengisi slot posisi tersebut kerana mempunyai larian deras, stamina tinggi dan hantaran silan yang baik.

Sepertimana Blind, Cuadrado beraksi cemerlang di Piala Dunia bersama Colombia di posisi pemain sayap dan mempamerkan kemampuannya melakukan hantaran silang yang tepat kepada rakan sepasukan. Cuadrado dilihat mampu memperkuatkan skuad MU sama ada ketika bertahan mahupun menyerang.


Mats Hummels

Pemain pertahanan tengah berkelas dunia. Namun mungkin agak sukar untuk MU mendapatkan Hummels dari Borussia Dortmund selepas kelab Jerman tersebut telah melantik Hummels sebagai ketua pasukan yang baru menggantikan Sebastian Kehl. 

Hummels mempunyai kemahiran yang baik selaku pemain pertahanan kerana dapat membaca permainan pasukan lawan seterusnya dapat membuat pemintasan dengan pantas selain tidak gentar dalam memberikan cabaran ketika perebutan bola tinggi ataupun membuat bentesan.


Dengan MU dikatakan mempunyai dana yang cukup besar musim ini, MU dan LVG seharusnya mencuba bersungguh-sungguh untuk mendapatkan pemain baru yang dirasakan sesuai dalam kesebelasan utama jika MU berkeinginan untuk kembali memberikan cabaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan