Mungkin agak terlewat, tapi ini merupakan sedikit sebanyak ulasan aku bagi undian UCL Round of 16.
Celtic vs Juventus
Satu perlawanan 'David vs Goliath' kerana Juventus boleh dikatakan antara pasukan yang cukup cemerlang bagi tahun 2012. Celtic merupakan kelab kerdil jika dibandingkan dengan Juventus tetapi melakukan kejutan di peringkat kumpulan apabila berada di tangga kedua di belakang Barcelona. Walaupun sebelum ini kurang dikenali, kini pemain-pemain Celtic seperti Forster dan Wanyama menjadi tumpuan kerana menunjukkan persembahan yang cemerlang. Juventus pula mempunyai pasukan yang cukup seimbang dengan gabungan pemain senior dan muda. Juventus tampak berkelebihan untuk menjadi pemenang bagi pertembungan ini.
Valencia vs Paris St. Germain
Kelab yang mempunyai masalah kewangan menentang kelab yang kaya. PSG dilihat sebagai pasukan yang mampu untuk menjuarai UCL musim ini berdasarkan pemain-pemain yang dimilikinya. Penyerang utamanya, Ibrahimovic pastinya menjadi senjata penting untuk PSG. Prestasi Valencia tidaklah begitu baik pada musim ini. Walaubagaimanapun, beberapa pemainnya seperti Feghouli dan Soldado tidak akan melepaskan peluang beraksi di UCL untuk menunjukkan kemampuan mereka. Namun begitu, aku memilih PSG untuk layak ke peringkat seterusnya.
Shakhtar Donesk vs Borussia Dortmund
Kedua-dua pasukan memiliki peluang yang seimbang. SD berjaya menafikan peluang Chelsea sementara BD menyingkirkan Man City dalam kumpulan masing-masing. SD boleh dikatakan diperkuatkan oleh beberapa pemain dari Brazil seperti Fernandinho, Willian dan Alex Teixeira manakala BD merupakan pasukan yang ditunjangi pemain muda berbakat seperti Gotze, Lewandowski, Reus dan Hummels.
Real Madrid vs Manchester United
Salah satu daripada dua perlawanan tumpuan di Round of 16. RM yang telah menjuarai UCL sebanyak 9 kali dibarisi oleh pemain-pemain ternama termasuk bekas pemain MU iaitu Cristiano Ronaldo. MU pula tidak mempunyai barisan sehebat RM tetapi dengan SAF menjadi pengurus dan semangat kental yang dimiliki, MU dilihat mampu untuk memberikan cabaran kepada RM. Bagi perlawanan ini, RM mempunyai sedikit sahaja kelebihan untuk muncul sebagai pemenang.
Porto vs Malaga
Sepertimana pertemuan Valencia dengan PSG, Porto dan Malaga dilihat mempunyai peluang yang seimbang. Malaga yang membuat kejutan dalam La Liga pada musim lepas, meneruskan kejutan tersebut dalam saingan UCL apabila muncul sebagai juara kumpulan, mengatasi AC Milan. Porto pula merupakan pasukan dalam pembikinan. Moutinho dan James Rodriguez antara pemain utama Porto yang setakat ini cukup cemerlang.
Arsenal vs Bayern Munich
Aku merasakan gergasi Jerman ini mempunyai kelebihan besar berbanding Arsenal untuk muncul sebagai pemenang. Selaku finalis UCL pada musim lepas, BM telah memperkuatkan lagi pasukan dengan kehadiran pemain baru seperti Javi Martinez dan Mandzukic. Pudolski yang menyertai Arsenal musim ini akan bertemu semula dengan kelab lamanya. Arsenal berpeluang memberikan cabaran kepada BM jika pemain utamanya seperti Cazorla dan Arteta mampu untuk mengimbangi kekuatan bahagian tengah BM yang dibarisi oleh Ribery, Kroos dan Schwensteiger.
Galatasaray vs Schalke
Perlawanan yang cukup seimbang bagi kedua-dua pasukan. Schalke tampak mantap dengan penyerang Belanda, Huntelaar yang cukup tajam penyudahnya pada musim ini. Galatasaray pula pastinya berharap Yilmaz untuk meneruskan rekod golnya selepas cukup cemerlang semasa peringkat kumpulan.
AC Milan vs Barcelona
Perlawanan tumpuan bagi Round of 16. Kedua-dua pasukan mempunyai sejarah yang cukup cemerlang di peringkat eropah. Namun, jika dilihat kepada prestasi semasa, Barcelona tampak memiliki peluang lebih cerah untuk menjadi pemenang memandangkan pasukannya diperkuatkan dengan pemain terbaik dunia, Messi. Walaupun ketiadaan pemain ternama pada musim ini, AC Milan dilihat mampu untuk mencabar kewibawaan Barcelona, itupun jika bahagian tengahnya yang ditunjangi De Jong dan Boateng berjaya menafikan Barcelona dari bermain 'passing game' yang menjadi kelebihan utama Barcelona.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan