PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi lampu hijau kepada tujuh
buah stadium untuk menganjurkan perlawanan Liga Malaysia pada waktu
malam selepas didapati mematuhi peraturan kecerahan 1,000 lux untuk
lampu limpah seperti yang ditetapkan.
Tujuh stadium berkenaan ialah Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kelantan;
Stadium Shah Alam, Selangor; Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri
Sembilan; Stadium Darul Makmur, Pahang; Stadium Negeri Sarawak; Stadium
Darul Aman, Kedah dan Stadium Jalan Besar, Singapura.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Hamidin
Mohd Amin berkata, selain di tujuh stadium berkenaan, perlawanan perlu
diadakan pada sebelah petang.
"Kita membenarkan pasukan Perak untuk bermain di Stadium Tentera Laut
Diraja Malaysia di Lumut pada waktu petang ekoran Stadium Perak ditutup
untuk kerja-kerja penambahan fasiliti.
"Kita akan melaksanakan pemeriksaan di stadium yang berhasrat untuk
beraksi pada waktu malam sekiranya mereka mematuhi peraturan kecerahan
1,000
lux, selepas melalui proses penambahbaikan," katanya kepada pemberita
selepas mempengerusikan mesyuarat JKPT di Wisma FAM di sini hari ini.
Hamidin yang juga Naib Presiden FAM berkata, antara stadium yang akan
menganjurkan perlawanan pada waktu petang ialah Stadium Majlis
Perbandaran Selayang, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Stadium Majlis
Bandaraya Petaling Jaya, Stadium Tan Sri Hassan Yunos dan Stadium Hang
Jebat.
Yang akan turut menganjurkan perlawanan waktu malam ialah Stadium Bola
Sepak Kuala Lumpur, Stadium Universiti Utara Malaysia, Stadium Likas
Sabah dan Stadium UiTM Arau.
Dalam perkembangan lain, Hamidin melahirkan rasa gembira di atas
kemampuan persatuan bola sepak negeri dan kelab untuk mengurangkan
jumlah bayaran tunggakan cukai dan caruman Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP) dari tahun ke tahun.
Beliau berkata, jumlah tunggakan KWSP dan cukai yang mencecah hampir
RM12 juta pada 2009 telah menurun kepada RM2.4 juta pada 2010, RM2.1
juta pada 2011 dan RM 1.3 juta tahun ini.
"Ini semua hasil kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan yang
memberikan kerjasama padu kepada FAM bagi memastikan persatuan bola
sepak negeri dan kelab melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mencarum
bagi pihak pemain," katanya.
Hamidin turut mengingatkan bahawa badan induk bola sepak kebangsaan itu
tidak teragak-agak untuk memotong jumlah geran tahunan yang diberikan
kepada persatuan bola sepak negeri dan kelab sekiranya mereka gagal
menjelaskan caruman KWSP para pemain tahun depan.
Sementara itu beliau berkata pasukan Kelantan dan Selangor yang layak
beraksi dalam saingan Piala AFC tahun ini diberi tempoh sehingga 26 Jan
depan untuk mendaftar tambahan dua lagi pemain import.
sumber: http://www.kedahlanie.info/2012/12/liga-m-std-darulaman-dibenarkan-main.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan