Isnin, 23 Jun 2014

Ulasan Piala Dunia - Kumpulan C dan D


Satu slot dari kumpulan C untuk melangkah ke pusingan kalah mati telahpun diisikan oleh Colombia yang cemerlang dengan dua kemenangan. Ivory Coast mampu untuk mencuri satu lagi slot jika mampu mencatatkan sekurang-kurangnya keputusan seri dengan Greece. Colombia pula hanya perlu menidakkan keputusan tewas kepada Jepun jika ingin memastikan tempat selaku juara kumpulan.

Jika ingin layak ke pusingan seterusnya, Jepun dan Greece perlu memperoleh kemenangan ke atas lawan masing-masing dalam perlawanan terakhir kumpulan. Greece boleh layak jika menang ke atas Ivory Coast selain Jepun tewas kepada Colombia. Manakala peluang untuk Jepun pula akan berhasil sekiranya Jepun menumpaskan Colombia dan dalam masa yang sama Ivory Coast dikalahkan oleh Greece.

Colombia ternyata mencuri tumpuan apabila berjaya menunjukkan permainan yang cukup cemerlang walaupun dibarisi pemain yang tidaklah begitu ternama. Ivory Coast seharusnya mampu untuk beraksi cemerlang kerana memiliki pemain-pemain yang berpengalaman.

Costa Rica ternyata membuat kejutan besar dalam edisi Piala Dunia kali ini apabila berjaya melepasi halangan pasukan-pasukan yang hebat seperti Itali dan Uruguay untuk melepasi cabaran kumpulan D yang dianggap sebagai kumpulan maut. Dengan Costa Rica sudahpun menempah satu slot, Itali dan Uruguay akan bertembung satu sama lain dalam perlawanan terakhir kumpulan bagi merebut satu lagi slot.

Berdasarkan prestasi permainan semasa, Uruguay tampak memiliki kelebihan berbanding Itali. Ini adalah kerana Uruguay mempunyai barisan serangan yang cukup merbahaya manakala Itali punya terpaksa bergantung harapan kepada Balotelli sahaja untuk merobek pertahanan lawan. 

Walaubagaimanapun, pertahanan Uruguay dilihat sedikit rapuh dan jika bahagian tengah Itali terutamanya Pirlo mampu membuat lorongan atau hantaran akhir yang baik, tidak mustahil Itali berupaya untuk menumpaskan Uruguay.

Dalam perlawanan terakhir kumpulan, Costa Rica hanya akan melengkapkan jadual perlawanan dengan menentang England yang sudahpun tersingkir. England yang pada awalnya dilihat mampu untuk memberikan cabaran dalam kejohanan Piala Dunia di Brazil, gagal menepati statusnya apabila tersungkur kepada Itali dan Uruguay.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan