Rabu, 27 November 2013

Review: MU vs Cardiff City (BPL)


Keputusan perlawanan:

Manchester United 2
Rooney 15'
Evra 45'

Cardiff City 2
Campbell 33'
Kim 90+1'



Pemain terbaik perlawanan:

FRAIZER CAMPBELL


Kesebelasan utama MU


Pertukaran pemain:

Giggs >> Hernandez
Welbeck >> Januzaj


Ulasan perlawanan:

MU melepaskan peluang untuk mengurangkan defisit mata dengan kelompok teratas apabila sekadar mencatatkan keputusan seri 2-2 dengan pendatang baru BPL musim ini iaitu Cardiff City (CC). CC berjaya mencuri satu mata dari MU apabila pemain gantian, Kim menjaringkan gol penyamaan di waktu masa tambahan sekaligus memberikan kekecewaan kepada MU.

MU terpaksa melupakan khidmat Vidic, RVP, Rafael dan Carrick kerana masing-masing mengalami kecederaan dan memaksa DM melakukan sedikit rombakan terhadap kesebelasan utama MU. Dengan DDG menjadi penjaga gol utama MU, Ferdinand dan Evans bergandingan di pertahanan tengah sementara Smalling di pertahanan kanan dan Evra kekal di pertahanan kiri di samping turut menggalas tugas sebagai kapten pasukan.

Bahagian tengah menyaksikan gandingan Fellaini dan Cleverley manakala Valencia dan Januzaj beraksi di sayap kanan dan kiri. Rooney bertindak sebagai penghubung bahagian tengah dan serangan dengan Hernandez menjadi fokal serangan MU.

Walaupun di atas kertas, MU tampak memiliki kelebihan, namun ianya gagal diterjemahkan di atas padang. Selain itu, kecemerlangan para pemain CC mengekang pergerakan pemain MU turut menjadi faktor kegagalan MU untuk mengutip tiga mata penuh. 

MU membuka jaringan apabila Rooney merembat masuk bola hasil hantaran silang Valencia. Namun, selepas gol pembukaan tersebut, MU berhadapan masalah untuk menambahkan jaringan akibat kegagalan melakukan serangan yang cukup berkesan. MU sememangnya merasai ketiadaan Carrick apabila tidak banyak hantaran ke hadapan dilakukan dari bahagian tengah.

Fellaini dan Cleverley lebih berfungsi bagi tugas defensif dan menguasai kawasan tengah padang sahaja berbanding memulakan gerakan bagi melancarkan serangan. Akibatnya, Rooney terpaksa bekerja keras sendirian manakala Hernandez agak keseorangan di bahagian serangan kerana ketiadaan seokongan dan bantuan secukupnya.

Menerusi satu serangan pantas, CC memperoleh gol penyamaan menerusi Campbell yang bijak melepasi kawalan pertahanan MU sebelum membuat rembatan leret yang gagal diselamatkan oleh DDG. MU kemudiannya mendahului semula perlawanan apabila Evra menanduk masuk bola untuk gol kedua MU yang dihasilkan menerusi sepakan sudut Rooney.

Separuh kedua menampakkan persembahan longlai dari MU. Beberapa peluang keemasan untuk menjaringkan gol gagal disempurnakan oleh MU sekaligus memberikan ruang kepada CC untuk bangkit bagi mencari sekurang-kurangnya keputusan seri.

Kesilapan Smalling telah menyebabkan pengadil perlawanan menghadiahkan CC sepakan percuma. Hasil sepakan percuma tersebut membolehkan CC mendapatkan gol penyamaan menerusi tandukan Kim  tatkala pemain MU cuba bertahan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Kekecewaan DM jelas dapat dilihat di wajahnya setelah MU hanya mampu untuk mengutip satu mata sahaja dari Wales. Kini, MU ketinggalan tujuh mata di belakang Arsenal yang selesa menjadi pendahulu liga. MU tidak boleh lagi selesa dan perlu melakukan penambahbaikan bagi memperbaiki persembahan walaupun mengalami masalah kecederaan di kalangan beberapa pemain utama.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan