Isnin, 9 September 2013

Al-kisah bahagian tengah


Kalau hendak diikutkan, agak lama sebenarnya aku ingin memberikan sedikit komentar tentang bahagian tengah sesebuah pasukan. Ini adalah kerana berdasarkan pendapat aku, kekuatan bahagian tengah merupakan faktor yang amat penting buat sesebuah pasukan dalam mengecapi kemenangan.

Liverpool mempunyai trio bahagian yang cukup mantap ketika musim 2008/2009 di mana pada musim tersebut Liverpool menamatkan musim di tangga kedua di belakang MU. Dengan menggunakan formasi 4-3-2-1, Gerrard, Xabi Alonso dan Mascherano menjadi nadi utama Liverpool dan kesan positif mereka bertiga dalam dilihat dengan ketajaman penyudah Torres.

Mascherano bertindak sebagai 'enforcer' berperanan memecahkan permainan pasukan lawan dan melindungi bahagian pertahanan Liverpool. Xabi Alonso pula menggalas tugas untuk membuka permainan Liverpool dengan hantaran-hantaran jauh yang tepat dan menguasai kawasan tengah padang buat Liverpool. Gerrard diberikan lesen bergerak ke atas bagi membantu serangan selain tugas hakiki iaitu memulakan serangan dari bahagian tengah.

Ketiga-tiga mereka memahami peranan masing-masing dalam menjadikan Liverpool sebuah pasukan yang mantap. Namun begitu, ketiadaan pemain sayap yang baik merencatkan sedikit kelancaran permainan Liverpool ketika melancarkan serangan. 

Bahagian tengah Chelsea amat memberangsangkan ketika di bawah pengurusan Mourinho yang gemar menggunakan formasi 4-3-3 di mana bahagian tengah Chelsea dibarisi oleh Makelele, Essien dan Lampard. Corak permainan keras Makelele dan prestasi Essien seperti enjin menjadi platform yang baik buat Chelsea dalam melancarkan serangan yang ketika itu dikepalai oleh Drogba.

Sepertimana Gerrard, Lampard dapat bergerak ke atas dan menyertai Robben dan Duff dalam membantu Drogba. Kecemerlangan formasi dan strategi Chelsea dapat dibuktikan dengan Chelsea menjuarai BPL buat dua kali berturut-turut. 

Kebanyakan pasukan dalam BPL lebih cenderung menggunakan formasi 4-4-2 iaitu di bahagian tengahnya akan meletakkan seorang pemain tengah defensif, seorang pemain tengah kreatif (menyerang) dan dua pemain sayap di kiri dan kanan. Walaubagaimanapun, kebelakangan ini, semakin banyak pasukan menerapkan formasi 4-3-2-1 atau 4-2-3-1 termasuk MU yang sememangnya dikenali gemar menurunkan formasi 4-4-2 ketika di bawah kendalian SAF.

Formasi 4-3-2-1 memastikan penguasaan di kawasan tengah padang dan memerlukan pemain sayap yang bagus dalam melancarkan serangan manakala 4-2-3-1 menjadikan pasukan sedikit kompak di bahagian tengah dan memberikan ruang kepada pemain pertahanan tepi untuk bergerak ke atas.

SAF tidak begitu menggemari untuk menggunapakai tiga pemain tengah serentak dalam sesuatu perlawanan tetapi oleh kerana ketiadaan pemain tengah yang berkesan selepas Keane bagi membolehkan MU menggunakan formasi 4-4-2. MU dilihat agak lemah di bahagian tengah selepas ketiadaan Keane dan kehadiran Hargreaves tidak banyak membantu akibat dilanda kecederaan sepertimana yang dialami oleh Fletcher.

Jadi, SAF mengekalkan empat orang pemtain tengah, tetapi formasi bertukar menjadi 4-4-1-1 atau 4-1-4-1. Bagi 4-4-1-1, seorang penyerang akan berada sedikit ke belakang dan akan membantu bahagian tengah tatkala pasukan lawan memperoleh penguasaan bola manakala 4-1-4-1 akan mempunyai seorang pemain tengah yang berperanan untuk tugas defensif sahaja.

Mungkin dengan kemasukan Fellaini akan memberikan keseimbangan sepatutnya yang dicari oleh MU bagi menggunakan formasi yang memerlukan tiga pemain tengah. Fellaini dan Carrick akan menjadi tunjang dan seorang pemain tengah kreatif akan menggerakkan serangan dari tengah dan akan dibantu dengan kehadiran dua pemain sama ada pemain sayap atau penyerang yang diletakkan sebarisnya di belakang penyerang utama.

Formasi menggunakan tiga pemain tengah tidak begitu asing dalam kebanyakan liga eropah. Di La Liga, Barcelona ternyata cukup mantap dengan gandingan Iniesta, Xavi dan Busquet. Walaupun tidak menampilkan corak permainan yang fizikal, tetapi dengan hantaran yang kemas, cepat dan mudah menjadikan Barcelona mudah untuk menguasai kawasan tengah padang.

Juara eropah musim lepas, Bayern Munich turut menggunakan formasi dengan tiga pemain tengah apabila Schweinsteiger, Martinez dan Gustavo/Kroos membarisi bahagian tengah Bayern Munich. AC Milan juga cemerlang ketika Seedorf, Gattuso dan Kaka mengemudikan bahagian tengah.

Formasi 4-4-2 kini semakin sukar untuk digunapakai kerana kurangnya fleksibiliti dari segi peranan para pemain berbanding formasi dengan tiga pemain tengah. Formasi dengan tiga pemain tengah memberikan ruang secukupnya untuk pemain penyerang bergerak bebas atau bertukar posisi ketika merobek pertahanan pasukan lawan selain bantuan dapat diberikan oleh pemain tengah sekaligus menjadikan corak permainan lebih menarik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan