Jumaat, 15 Mac 2013

Preview: MU vs Reading (BPL)


MU semestinya kembali mendapatkan rentak kemenangan selepas mengalami dua kekecewaan berturut-turut berdasarkan perlawanan bagi saingan UCL dan Piala FA. Jadi, pertemuan dengan Reading akan menjadi medan buat MU untuk mengecapi kemenangan semula seterusnya mengekalkan kedudukan yang kukuh di persada liga.



Tatkala saingan MU dalam BPL hanya berbaki 10 perlawanan, kelebihan 12 mata yang dimiliki tidak seharusnya dipersiakan oleh MU. Segala perhatian dan tumpuan perlu diberikan oleh MU dengan sebaik mungkin bagi mengelakkan sebarang keguguran mata sekaligus akan memberikan ruang kepada Man City untuk merapatkan kedudukan.

SAF dijangkakan akan menurunkan kesebelasan utama terbaik bagi melayan kunjungan Reading ke OT. Ini adalah untuk memastikan MU mengutip tiga mata penuh. Walaubagaimanapun, SAF terpaksa melakukan pemilihan pemain dengan teliti kerana seperti yang telah diakui oleh SAF, beberapa pemain MU sedang berada dalam keletihan selepas berhempas pulas ketika bertemu dengan Real Madrid dan Chelsea.

Antara pemain MU yang keletihan adalah RVP yang berkemungkinan besar akan diletakkan di bangku simpanan kerana bukan sahaja RVP menampilkan corak permainan yang tidak sehebat seperti di awal musim, malah RVP turut ketandusan gol selama lebih kurang tujuh perlawanan. 

Jadi, RVP dirasakan perlu untuk direhatkan buat sementara waktu dan jika perlu, RVP hanya beraksi selaku pemain gantian. Ini penting bagi memastikan RVP kembali ke prestasi sebenar yang akan membolehkan RVP memberikan sumbangan yang cukup signifikan kepada MU untuk merangkul kejuaraan BPL musim ini.

Selain RVP, Chicharito juga akan diketepikan bagi memberikan laluan kepada Welbeck untuk bergandingan dengan Rooney di bahagian serangan. Walaupun tidak beraksi dengan begitu baik ketika bertemu Chelsea, Kagawa akan diletakkan di sayap kanan sementara Young akan kembali membuat penampilan dalam kesebelasan utama MU selepas tersisih beberapa perlawanan di sayap kiri.

Bahagian tengah akan menyaksikan Carrick berpasangan dengan Giggs. Sehingga kini, Giggs dilihat masih mampu mengerahkan tenaga untuk membantu MU dengan cukup berkesan berbanding Cleverley ataupun Anderson. 

Ferdinand pula akan kembali bergandingan dengan Vidic di pertahanan tengah. Smalling akan mengambil alih tempat Rafael di pertahanan kanan manakala Evra mengekalkan kedudukannya di pertahanan kiri. DDG pula diharapkan meneruskan kecemerlangannya dalam menjaga gawang gol MU.

Jika kemenangan berjaya diperoleh, sedikit sebanyak membolehkan MU menghampiri kejuaraan BPL kali ke-20. Walaubagaimanapun, MU perlu berwaspada dengan Reading yang kini sedang bertarung demi survivalnya dalam BPL dan pastinya akan memberikan cabaran dan saingan yang cukup getir kepada MU.


Jangkaan kesebelasan utama MU:




Jangkaan perlawanan dan keputusan:

MU dilihat memerlukan gol awal jika ingin menafikan cabaran Reading. Jika MU gagal merobek pertahanan Reading dalam separuh masa pertama, MU akan berhadapan kesukaran bagi menewaskan Reading. Walaubagaimanapun, aku menjangkakan MU mampu untuk mencatatkan kemenangan selesa iaitu dengan keputusan 5-1 di mana Rooney, Welbeck dan Giggs tersenarai selaku penjaring gol MU.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan