Khamis, 7 Mac 2013

MU: Tersungkur di UCL dan Penjualan Rooney


Rasanya rata-rata peminat MU (termasuk aku) tidak dapat menafikan kekecewaan apabila MU gagal layak ke peringkat suku akhir UCL selepas tumpas kepada Real Madrid (RM) baru-baru ini. Walaupun MU beraksi dengan begitu baik, hasil daripada corak taktikal dan pemilihan pemain yang tepat, gara-gara keputusan kontroversi pengadil perlawanan dari Turki, telah menyebabkan MU berputih mata. Kegagalan ini boleh dikatakan seolah-olah menusuk kalbu SAF sehinggakan SAF tidak berminat untuk menghadirkan diri ke sidang media selepas perlawanan ditamatkan.

Pada aku, SAF bijak menyusun strategi MU dalam menentang RM. Segala kelemahan RM telah dikenalpasti dan dalam dua perlawanan yang berlangsung, MU berjaya membaca corak permainan RM. Oleh kerana RM dibarisi oleh pemain-pemain yang cukup ternama dan hebat dengan kemahiran masing-masing, MU pastinya menyiapkan diri dengan strategi yang cukup ampuh bagi mengekang asakan yang diberikan oleh RM.

Ketika di Santiago Bernabeu, Jones menjadi nadi utama MU di mana Jones melaksanakan tugas dengan berkesan dalam mengekang pergerakan Ronaldo. Selain itu, kecekapan yang ditunjukkan oleh DDG turut menghampakan beberapa kali percubaan berbahaya RM. MU mengeksploitasikan dua kelemahan ketara RM iaitu yang pertama adalah RM tidak begitu berkesan ketika berhadapan situasi bola mati dan yang kedua adalah RM sedikit kelam kabut ketika pasukan lawan melancarkan serangan balas pantas.

Hasil dua kelemahan RM tersebut, MU berjaya mendapatkan satu gol tempat lawan yang berharga untuk dibawa pulang ke OT. Walaupun kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 1-1 dalam perlawanan pertama, RM tetap dilihat sebagai pilihan untuk layak ke peringkat seterusnya dan ini menjadikan MU lebih bersemangat untuk mengatasi RM.

SAF mengambil keputusan yang mengejutkan apabila menggugurkan Rooney dari kesebelasan utama MU. Kepercayaan SAF diberikan kepada Welbeck dan Nani bagi membantu RVP merobek benteng pertahanan RM. Welbeck ternyata menggunakan peluang untuk beraksi dengan sebaiknya apabila memainkan peranan yang cukup penting iaitu menjadi bayangan kepada Alonso. Keberkesanan Welbeck dapat dilihat apabila Alonso yang sememangnya diketahui sebagai penggerak serangan RM gagal membuat hantaran-hantaran dengan baik kepada rakan sepasukan.

Ketika 11 lawan 11, MU berjaya menyerap segala asakan dan tekanan yang diberikan oleh RM. Ronaldo tidak banyak memperoleh bola kerana dikekang oleh Rafael yang dibantu oleh Giggs. Boleh dikatakan, serangan MU tampak lebih berbahaya tetapi dek kerana kecekapan Diego Lopez, MU hanya mampu mendapatkan gol menerusi gol sendiri Ramos.

Namun, keputusan layangan kad merah kepada Nani menyebabkan permainan disiplin MU benar-benar terganggu. Mourinho yang mengetahui bahagian tengah RM tidak begitu berfungsi akibat Alonso diekori rapat oleh Welbeck, bijak mengeluarkan Arbeloa dan memasukkan Modric untuk menambahkan seorang lagi pemain kreatif bagi melancarkan serangan.

Oleh kerana kehilangan Nani, MU tersentak dan terkejut sehingga gagal memberikan penumpuan sepenuhnya selama hampir 10 minit. Peluang tersebut dipergunakan dengan sebaiknya oleh RM untuk mendapatkan dua jaringan pantas dalam tempoh 3 minit.

Walaubagaimanpun, MU yang sedang ketinggalan 1-2 dan memerlukan dua gol untuk menewaskan RM, menunjukkan semangat tidak mengalah dan mula bangkit bagi mengancam RM. Tetapi nasib ternyata tidak menyebelahi MU apabila serangan yang dilancarkan tidak menyaksikan bola menerjah jaring gol RM.

Kekalahan di tangan RM harus dilupakan dengan secepat mungkin kerana hujung minggu ini MU akan melayan kunjungan Chelsea dalam perlawanan suku akhir Piala FA. Segala kekecewaan perlu diterjemahkan kepada kesungguhan bagi memastikan MU tidak terlepas satu lagi kejuaraan.

Kini heboh pula berita tentang kesediaan MU untuk melepaskan Rooney pada musim panas ini. Dikhabarkan, SAF telah berputus asa dengan Rooney dan kerenggangan antara mereka berdua wujud sejak Rooney menyatakan hasrat untuk berhijrah keluar dari MU pada tahun 2010. 

Walaupun Rooney membuat keputusan 'U-turn' dengan menandatangani kontrak untuk lima musim, SAF tidak berpuas hati dengan Rooney, bukan sahaja dari tingkah lakunya yang mengingkari arahan SAF untuk tidak berpesta pada Krismas 2011, malah kecergasan Rooney turut dipersoalkan. Jadi, Rooney dilihat sedang menghampiri pintu keluar dari MU dan khabar angin terbaru mengatakan PSG berminat untuk mendapatkan Rooney untuk musim hadapan.

MU diberitakan berhasrat untuk menjual Rooney bagi menyediakan dana yang secukupnya bagi mendapatkan kembali Ronaldo dari RM. Tetapi aku melihat ketiadaan Rooney akan membolehkan Welbeck mendapatkan peluang sebagai pasangan RVP selain perlawanan yang lebih banyak dapat diberikan kepada Chicharito. 

Selain itu, Kagawa turut akan menerima manfaat dari ketiadaan Rooney apabila boleh diturunkan di posisi di belakang penyerang utama sepertimana ketika di Borussia Dortmund. Kehebatan Kagawa beraksi di posisi tersebut dapat dilihat ketika bertemu Norwich City baru-baru ini. Zaha yang bakal hadir ke MU pada musim panas ini juga berkemungkinan besar akan dapat peluang untuk beraksi secara lebih kerap.

Jadi, ketiadaan Rooney memberikan beberapa kelebihan kepada MU. Walaubagaimanapun, blog-blog antarabangsa peminat MU tidak banyak menyiarkan berita sensasi Rooney ini dengan menyatakan media-media utama seperti The Sun dan sebagainya sengaja mengada-adakan berita penjualan Rooney bagi mencari publisiti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan