Satu perlawanan yang cukup hangat, dengan pelbagai kontroversi terutamanya melibatkan pengadil perlawanan. Namun, aku ingin fokuskan kepada permainan MU sahaja sebagai ulasan atau lebih tepat lagi komentar bagi perlawanan MU dengan Chelsea.
Mungkin SAF tidak mahu menghampakan peminat tua berusia 80 tahun yang telah memberikan kritikan pedas terhadap formasi 4-4-2 berlian ketika dalam rancangan MUTV. Namun, apa yang lebih tepat adalah SAF ingin mengeksploitasikan kelemahan Chelsea di kedua-dua bahagian pertahanan kiri dan kanan yang dilihat agak rapuh sejak akhir-akhir ini. Ketiadaan Terry yang digantung juga memberikan sedikit impak kepada pertahanan Chelsea.
MU benar-benar mengancam di bahagian sayap terutamanya Valencia. Young agak tenggelam namun kehadirannya di atas padang menyebabkan Ivanovic tidak berani mengambil risiko untuk kerap bergerak ke atas. Valencia pula bijak memberikan tekanan kepada Cole sekaligus membolehkan MU untuk melancarkan serangan yang menghasilkan gol.
Cleverly diturunkan bagi memberikan tenaga kepada barisan tengah MU. Walaupun tampak tidak memberikan impak sepenuhnya kepada serangan MU, namun sumbangan Cleverly jelas kelihatan apabila kerap mengekori trio tengah Chelsea iaitu Mata, Hazard dan Oscar sehingga dirinya terpaksa digantikan oleh Chicharito kerana kepenatan. MU pastinya berhadapan kesukaran untuk menangani trio tengah Chelsea itu jika meletakkan Scholes atau Giggs sebagai pasangan Carrick.
Rooney juga menunjukkan usaha gigih apabila kerap turun ke bawah untuk membantu barisan tengah MU. Kekerapan Rooney berbuat demikian menyebabkan dirinya turut kepenatan. Bantuan Rooney kepada barisan tengah MU membolehkan MU menguasai kawasan tengah padang terutamanya ketika separuh masa pertama.
Kemasukan RVP ke MU musim ini memang menambahkan keupayaan serangan MU. RVP bijak melepasi kawalan pertahanan lawan dan membuat larian ke dalam kotak penalti lawan. Selain itu, RVP juga mampu untuk mengawal bola dan membuat lorongan kepada rakan sepasukan dengan pantas. Dengan ini, rentak permainan MU yang cuba bergerak pantas tidak terjejas berbanding Berbatov yang sebelum ini kerap merencatkan pergerakan MU.
Chicharito turut mampu untuk memberikan impak walaupun beraksi sebagai pemain gantian. Ianya membolehkan MU untuk mengubah permainan dan taktikal sewaktu perlawanan berlangsung dengan kehadiran Chicharito.
Walaupun melepaskan dua gol, DDG menunjukkan keyakinan ketika bertemu Chelsea. Ketangkasannya menidakkan beberapa peluang dicipta Chelsea. Kedua-dua gol Chelsea boleh dikatakan adalah berpunca dari kesilapan MU ketika bertahan.
Evans boleh diberikan pujian kerana berjaya mengekang pergerakan Torres. Ferdinand pula, masih mampu untuk berhadapan dengan penyerang Chelsea yang memiliki larian pantas. Namun, pertahanan MU perlu memperkemaskan permainan. Yang menggembirakan adalah Smalling dan Jones akan kembali beraksi sekaligus memperkuatkan lagi pertahanan MU.
Setakat ini, dengan skuad sedia ada, MU sekurangnya mempunyai tiga
formasi iaitu 4-4-2 standard dan dua terbaru iaitu 4-4-2 berlian dan
4-2-3-1. Jadi, MU kini mempunyai pilihan dan menyebabkan pasukan lawan
sukar untuk mengagak corak permainan MU dalam sesuatu perlawanan. Boleh
dikatakan ketiga-tiga pilihan ini bakal memberikan kelebihan buat MU
pada musim ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan