Rabu, 31 Oktober 2012

Preview: MU vs Chelsea (Capital One Cup)


Chelsea pastinya ingin membalas dendam atas kekalahan pada hujung minggu lepas dengan mengalahkan MU dalam pusingan keempat Capital One Cup awal pagi esok.



Empat pemain utama Chelsea iaitu Ivanovic, Torres, Terry dan Lampard tidak dapat beraksi akibat pergantungan dan kecederaan. Selain itu, RDM juga mungkin akan memberikan rehat kepada beberapa pemain utama lain seperti Hazard, Mata dan Ramirez selepas ketiga-tiga mereka bermain bersungguh-sungguh pada hujung minggu lepas.

Walaupun ketiadaan sebahagian pemain utama, Chelsea masih mengancam, tambahan pula beraksi di halaman sendiri. Chelsea juga ingin melukakan episod sedih yang dilalui dan akan cuba untuk menyingkirkan MU dari saingan Capital One Cup musim ini.

Sepertimana Chelsea, SAF akan melakukan rombakan besar-besaran terhadap kesebelasan utama MU. Kesemua barisan pertahanan berkemungkinan besar akan direhatkan dan pemain-pemain muda akan diberikan peluang untuk beraksi, terutamanya selepas menampilkan aksi yang cemerlang ketika menumpaskan Newcastle United dalam pusingan ketiga.

Bagi menghadapi bahagian tengah Chelsea yang dibarisi pemain muda yang laju, MU akan menggunakan formasi 4-2-3-1 bagi mengekang pergerakan dan larian. Secara tidak langsung, formasi ini memberikan sedikit kelebihan buat MU untuk berusaha menguasai kawasan tengah padang. Fletcher yang tidak beraksi baru-baru ini pasti tidak sabar untuk memberikan persembahan bertenaga mengemudikan bahagian tengah MU.

Scholes atau Giggs akan menjadi pasangan Fletcher sementara Anderson akan diletakkan sedikit ke hadapan bagi membantu serangan. Setakat ini, persembahan Anderson boleh dikatakan memberangsangkan cuma masih belum meyakinkan SAF untuk memberikan peluang buat dirinya dalam perlawanan BPL.

Nani akan diberikan peluang untuk membuktikan kemampuan dirinya dengan berada di sayap kanan. Ini adalah kerana sejak bulan lalu, Nani telah dikaitkan dengan khabar angin penghijrahan keluar dari MU selain pergaduhan dengan pemain muda MU. Welbeck akan mengisi slot di sayap kiri tetapi kemungkinan besar akan lebih bergerak ke dalam bagi memberikan sokongan kepada Chicharito yang bertindak selaku penyerang tunggal MU.

MU mungkin akan menggunakan pendekatan yang lebih defensif pada perlawanan kali ini berbanding sebelumnya di mana corak permainan MU mungkin lebih cenderung untuk melancarkan serangan balas. Larian pantas dan kebijaksaan Chicharito dalam kawasan Chelsea bakal menjadi aset utama MU untuk merobek pertahanan Chelsea seterusnya menghasilkan gol. Welbeck yang cemerlang ketika bertemu Stoke City turut dilihat mampu untuk memberikan sumbangan bermakna buat MU.


Kesebelasan utama:



Jangkaan keputusan:

Satu perlawanan yang mungkin sekali lagi akan menyajikan lebih dari dua gol. Walaupun MU tidak akan menggunakan pendekatan yang terlalu menyerang, namun kehadiran Chicharito dan Welbeck mampu untuk memberikan sesuatu yang positif buat MU di Stamford Bridge. MU dijangkakan untuk menumpaskan Chelsea 3-1 tetapi terpaksa berusaha keras menahan segala serangan Chelsea. Tiga gol MU akan diperoleh menerusi hatrik Chicharito.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan