Rabu, 25 Jun 2014

Tamat sudah untuk tahun ni


Kedah calar kejayaan PDRM

PASUKAN Kedah mencalarkan kejayaan juara Liga Perdana 2014, Polis Diraja Malaysia (PDRM), selepas melakar kemenangan tipis 3-2 pada aksi terakhir liga di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi.

PDRM mengesahkan kejuaraan buat kali kedua selepas menang selesa 4-0 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Jumaat lepas.

Untuk rekod, PDRM muncul juara Liga Perdana buat kali pertama pada 2007 di bawah kendalian K. Thayanathan.

Pada perlawanan itu, skuad 'Helang Merah' bermula cemerlang selepas mendahului 3-0 hasil jaringan Mohd Syazwan Zainon pada minit ke-43; Namkung Woong (55') dan Billy Mehmet Osman (58) sebelum penyerang import dari Maldives, Ashfaq Ali dan pemain gantian, Mohd Fauzi Abd Majid merapatkan defisit jaringan, masing-masing pada minit ke-59 dan 77.

Selaku juara, PDRM meraih wang tunai RM300,000 serta Piala Liga Perdana yang disampaikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada kapten pasukan Mohd Muslim Ahmad.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Ahmad Zahid nyata gembira dengan kejayaan skuad 'The Cops' merangkul Piala Liga Perdana buat kali kedua.

Beliau berkata ia menjadi dorongan kepada pasukan itu meraih lebih banyak kejayaan pada masa akan datang. "Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana PDRM berjaya pada kali ini keranaPDRM selalu berada di tangga terbawah... Ini merupakan pencapaian terbaik pasukan dan saya ucapkan tahniah kepada pihak pengurusan," katanya.

Felda United FC pula mengesahkan kedudukan selaku naib juara selepas mengalahkan Perlis 3-2 di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar.  

Tiga gol skuad 'The Fighters' dijaring oleh Zah Rahan Krangar pada minitke-14, Makeche Ndumba (46') dan Ahmad Syamim Yahya (63) manakala dua gol Perlis disumbang oleh Bamba Valy Sinaly pada minit ke-75 dan 85.

Selaku juara dan naib juara, PDRM dan Felda United FC bakal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, pasukan Johor Darul Ta'zim II mencatat kemenangan tipis ke atas Sabah hasil jaringan Hardy Charles Parsi pada minit ke-70.

Pulau Pinang pula menempah slot ke Piala Malaysia yang dijadual berlangsung Oktober ini walaupun terikat 2-2 ketika berdepan SPA Putrajaya FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Dua gol skuad 'Harimau Kumbang' dijaring penyerang import dari Korea Selatan, Lee Gil Hoon pada minit ketiga (melalui sepakan penalti) dan 57' manakala pasukan pelawat menyamakan kedudukan menerusi jaringan Khairol Azry Abd Rahman pada minit ke-29 dan Mohd Nurhafizzuan Salehuddin (36').

Dua lagi perlawanan membabitkan UiTM FC dan Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi serta pertemuan DRB Hicom FC dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP FC) di Stadium Hang Jebat, Melaka berakhir dengan keputusan seri 1-1.

PBAPP FC dan Perlis bakal beraksi dalam saingan Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) musim depan selepas menduduki tangga ke-11 dan 12 Liga Perdana.

Juara Liga FAM, Kuantan FA pula dinaikkan ke Liga Perdana musim depan. Wakil kelab Pahang, Shahzan Muda dan Kuala Lumpur akan merebut satu lagi slot ke Liga Perdana 2015 menerusi perlawanan terakhir Liga FAM, Rabu ini.




sumber: http://www.sinarharian.com.my/ultras/liga-malaysia/kedah-calar-kejayaan-pdrm-1.293295

Tiada ulasan:

Catat Ulasan