Selasa, 21 Januari 2014

Teruk sangat ka MU musim ni


Musim ini boleh dikatakan musim yang agak muram dan mencabar buat MU apabila tidak menampilkan persembahan yang bertenaga dalam saingan BPL. Setakat ini, MU berada di kedudukan ke-7 dengan 14 mata ketinggalan di belakang pendahulu BPL, Arsenal.

Dengan prestasi MU yang hambar ini, pastinya menimbulkan kegusaran di kalangan peminat MU (termasuk aku). Aku sebenarnya tidak meletakkan 100% kesalahan kemunduran persembahan MU ke atas DM tetapi lebih cenderung untuk merasakan kekecewaan terhadap prestasi pemain secara individu.

Situasi yang dialami MU ketika ini, seolah-olah sama yang dihadapi oleh Kedah beberapa musim lalu. Walaupun mempunyai skuad dengan pemain sedia ada, tetapi disebabkan pertukaran pengurusan atau jurulatih, pemain gagal untuk menunjukkan persembahan di tahap sepatutnya.

Ketika ini, hanya Rooney dan DDG sahaja yang beraksi menepati standard sebenar MU manakala pemain-pemain utama lain mengalami kemerosotan prestasi, sama ada kerana kecederaan, kurang keyakinan atau masalah yang tidak dapat dikenalpasti.

DM nampaknya lebih mempercayai formasi 4-2-3-1 berbanding 4-4-2. Ini adalah kerana kesemua pemain sayap MU iaitu Young, Nani, Valencia dan Kagawa tidak begitu berkesan. Walaubagaimanapun, kehadiran pemain muda, Januzaj sedikit sebanyak memberikan sinar buat MU kerana menunjukkan kematangan walaupun baru berusia 18 tahun.

Zaha mungkin seharusnya diberikan peluang sepertimana Januzaj, tetapi apabila diturunkan untuk beraksi, Zaha tidak begitu berkesan dan tidak konsisten. Jadi, Zaha perlu mempergunakan kesempatan beraksi yang diberikan oleh DM bagi mencuri tempat dalam kesebelasan utama MU.

Persembahan Kagawa turut mengecewakan. Kagawa sememangnya mempunyai kreativiti yang diinginkan oleh MU tetapi tidak konsisten dan kurang berupaya untuk bermain dengan pemain yang berlainan bagi setiap perlawanan.

Ini dapat dilihat apabila Kagawa beraksi dengan Rooney atau RVP, Kagawa mampu untuk menonjol tetapi apabila beraksi di belakang Welbeck mahupun Hernandez, Kagawa tenggelam. Ini sebenarnya yang tidak dikehendaki oleh DM.

Kecederaan yang menimpa Rooney dan RVP menambahkan kedukaan MU dengan kehilangan sengat di hadapan pintu gol lawan. Dengan kurangnya daya kreativiti di bahagian tengah, MU ternyata kemarau menjaringkan gol.

MU memerlukan pemain tengah baru yang mampu untuk mencorakkan permainan sepertimana yang dilakukan oleh Scholes. Mungkin Mata atau Gundogan mampu untuk menggalas tugas tersebut jika MU berminat untuk berbelanja besar. Tetapi jika keadaan benar-benar memerlukan, DM boleh memanggil semula pemain pinjaman, Powell yang ketika ini beraksi cemerlang di Wigan Athletic.

DM juga perlu memperkemaskan benteng pertahanan MU yang kelihatan agak rapuh. Mungkin sudah tiba masanya untuk DM menetapkan pasangan pertahanan tengah yang dapat beraksi secara berterusan dan mengurangkan pertukaran pasangan yang mungkin menjejaskan persefahaman ketika beraksi.

Dari segi perkiraan mata, MU tidak berpeluang cerah untuk mencabar kejuaraan BPL musim ini. Tetapi segalanya tidak mustahil kerana masih ada lagi 16 perlawanan yang perlu dilalui. MU sekurang-kurangnya mesti mensasarkan kedudukan empat kelab teratas bagi memastikan tempat untuk beraksi di UCL musim hadapan. Kegagalan untuk beraksi di UCL musim hadapan, akan menyebabkan pelbagai mala petaka buat MU di mana salah satunya kurangnya pendapatan yang akan diperoleh.

Walaupun dalam saingan BPL, MU agak merudum, dalam saingan lain seperti UCL dan Capitol One Cup, MU masih lagi berpeluang untuk bersaing. Jadi, para pemain MU harus bangkit dari mengelamun dan mengeluh, bagi sekurang-kurangnya membawa pulang satu kejuaraan di musim pertama DM selaku pengurus MU.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan