Sebelum bercerita dengan lebih panjang dan mungkin juga merapu, adalah lebih baik aku meminta maaf terlebih dahulu kerana begitu lama tidak menyediakan entry buat satu tempoh yang lama. Ini adalah kerana terlalu banyak perkara yang perlu aku hadapi dan selesaikan. Terima kasih diucapkan kepada pembaca, pengikut dan sesiapa pun yang masih setia melayari blog ini.
Sepertimana yang diketahui, dalam tujuh perlawanan terawal BPL musim ini, MU sudahpun tewas dua perlawanan iaitu kepada Leicester City (LC) dan Swansea City. MU seharusnya mampu untuk mencatatkan kemenangan ketika bertemu LC, namun atas sebab kerapuhan benteng pertahanan, MU tewas dalam perlawanan tersebut walaupun pada satu ketika, MU sedang mendahului 3-1.
Namun begitu, MU masih lagi gagal untuk mengekalkan konsistensi dari segi permainan dalam kedua-dua separuh masa. MU bermain dengan cukup baik dalam separuh masa pertama tetapi prestasi tiba-tiba merosot tatkala di separuh masa kedua. Ini ternyata amat menggusarkan LVG yang pastinya sedang berusaha sedaya upaya mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah tersebut.
Walaupun mengecapi kemenangan, nasib MU tidaklah begitu baik apabila banyak pemain dari skuad utama mengalami kecederaan dan terpaksa diketepikan. Benteng pertahanan MU merupakan bahagian kehilangan pemain terbanyak akibat kecederaan sehinggakan LVG terpaksa menaruh kepercayaan terhadap pemain-pemain muda. Mujur, kepercayaan LVG itu berjaya dibalas dengan baik apabila pemain muda seperti Blackett dan McNair berupaya beraksi dengan bagus apabila diturunkan.
Ketiadaan Rooney akibat pergantungan tiga perlawanan gara-gara layangan kad merah ketika bertemu WHU merencatkan sedikit perancangan LVG di bahagian serangan. Di bawah kendalian LVG, Mata dilihat tidak begitu sesuai dengan corak permainan MU. Mata sememangnya diketahui tidak begitu berkesan bagi tugas-tugas defensif sekaligus menyebabkan MU kekurangan tenaga ketika menghadapi serangan pihak lawan.
Selain itu, Mata juga tampak memperlahankan rentak permainan MU apabila cenderung untuk mengawal bola dengan lebih lama sebelum membuat hantaran. Ini menyebabkan larian yang dilakukan oleh rakan sepasukan tersangkut kerana ingin membaca dan mengetahui arah hantaran yang akan dilakukan oleh Mata terlebih dahulu.
Aku merasakan Rooney boleh beraksi dengan baik berbanding Mata apabila diletakkan di belakang RVP dan Falcao. Namun begitu, Rooney memerlukan sedikit masa untuk memahami peranan dan posisinya dengan lebih jelas jika kita semua ingin melihat tiga serangkai penyerang MU merobek pertahanan lawan dengan ganas.
Aku sememangnya merindui aksi Carrick di bahagian tengah MU. Ketiadaannya menyebabkan MU terpaksa bermain secara mudah dengan hantaran-hantaran dilakukan dengan tepat ke arah rakan berbanding Carrick yang bijak membuat hantaran jauh yang mengelirukan pertahanan lawan. Di samping itu, dengan adanya Carrick, pertahanan MU dapat dilindungi dengan berkesan. Aku tidak sabar untuk melihat kelibat Carrick beraksi bersama Blind di bahagian tengah MU.
Rojo nampak begitu sesuai beraksi di posisi pertahanan tengah berbanding fullback kiri. Ketenangan dan kematangan Rojo akan membantu pertahanan MU untuk kembali menjadi kental. Kehadiran semula Jones pastinya dinantikan bagi berpasangan dengan Rojo di pertahanan tengah. Dengan diapit oleh Rafael dan Shaw, pertahanan MU tampak kuat selain di'back-up' oleh Smalling, Evans, McNair dan Blackett.
Apa yang menggembirakan adalah walaupun MU gagal menampilkan aksi yang kemas, namun dengan kemenangan terbaru ke atas Everton, MU kini berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan teratas. Pencapaian MU ini dicapai tatkala prestasi MU tidalah begitu memberangsangkan. Jika MU dapat menunjukkan prestasi sebenar, tidak mustahil buat MU untuk mencabar kejuaraan BPL musim ini walaupun Chelsea ketika ini merupakan pilihan utama untuk menjulangkan kejuaraan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan