Isnin, 21 Julai 2014

Ulasan Piala Dunia 2014 versi MBD


Sebenarnya sudah lama aku ingin untuk memberikan sedikit sebanyak ulasan berkenaan Piala Dunia 2014 yang baru sahaja berlalu. Tetapi atas sebab sibuk dengan tugas harian, aku terpaksa menangguhkan hasrat tersebut sehinggalah ke hari ini.

Sekalung tahniah buat pasukan Jerman yang berjaya merangkul kejuaraan Piala Dunia buat kali keempat. Jerman dilihat layak untuk menjadi juara kerana berjaya menunjukkan persembahan yang cukup konsisten sejak dari saingan peringkat kumpulan sehinggalah ke pusingan kalah mati.


Jerman mempunyai pasukan yang cukup seimbang di semua posisi dan tidak mengharapkan seorang dua pemain sahaja dalam memburu kemenangan. Selain itu, kebanyakan pemain utama Jerman telah bermain bersama-sama sejak dari tahun 2010 sekaligus menunjukkan kesefahaman yang tinggi ketika beraksi.

Walaupun tidak memiliki peledak gol tulen, harapan Jerman yang disandarkan kepada Thomas Muller ternyata tidak sia-sia apabila Muller mampu untuk menyumbangkan lima gol dalam kejohanan di Brazil kali ini. Tidak mustahil buat Muller untuk memecahkan rekod rakan senegara. Miroslav Klose yang kini memegang status penjaring gol terbanyak dalam Piala Dunia iaitu sebanyak 16 gol.

Berdasarkan prestasi yang telah ditunjukkan, Jerman mampu untuk mengekalkan skuad yang sama sekurang-kurangnya empat tahun lagi dan ini akan memberikan kelebihan buat Jerman dalam menghadapi dua lagi kejohanan besar iaitu Euro 2016 dan Piala Dunia 2018.

Argentina pula tampak benar-benar bergantung kepada Lionel Messi yang terpaksa bekerja keras untuk membawa Argentina melangkah ke perlawanan akhir. Walaubagaimanapun, sumbangan daripada Javier Mascherano dilihat lebih bermakna berbanding Messi kerana statistik kejohanan menunjukkan Mascherano bermain dengan begitu baik di posisi pertahanan.


Angel Di Maria tidak begitu bernasib baik kerana mengalami kecederaan yang mengakibatkan dirinya terlepas daripada beraksi di pentas perlawanan akhir. Mungkin dengan adanya Di Maria, Argentina mampu untuk mengecewakan Jerman seterusnya membalas dendam 24 tahun di mana pada perlawanan akhir Piala Dunia 1990, Argentina telah tewas kepada Jerman.

Persembahan Belanda ternyata begitu memberangsangkan sepanjang kejohanan berlangsung. Kejayaan menundukkan juara dunia 2010 iaitu Sepanyol menerusi kemenangan besar 5-1 ternyata menaikkan semangat para pemain Belanda sehingga berjaya merangkul tempat ketiga.

http://img.bleacherreport.net/img/images/photos/002/648/777/hi-res-184450120-holland-manager-louis-van-gaal-celebrates-with-his-team_crop_north.jpg?w=630&h=420&q=75

Di bawah kendalian Louis Van Gaal, Belanda mempamerkan pelbagai variasi taktikal dalam setiap perlawanan yang dihadapi dan ini membolehkan Belanda mencatatkan kemenangan. Belanda dilihat mampu untuk memberikan cabaran yang lebih sengit di masa hadapan memandangkan skuadnya dibarisi oleh sebahagian besar pemain-pemain muda yang sedang meningkat naik.

Sepertimana Argentina, Brazil turut mengharapkan kecemerlangan seorang pemain iaitu sentuhan emas Neymar. Jika ditolak gol Neymar, Brazil hanya mampu untuk meledakkan gol menerusi situasi bola mati.


Selain itu, pertahanan Brazil memang cukup rapuh sehingga dimalukan oleh pasukan Jerman di perlawanan separuh akhir apabila tewas 1-7. Brazil kini tidak lagi menampilkan corak permainan samba kerana kebanyakan pemainnya telah beraksi di eropah sekaligus mempengaruhi corak permainan Brazil.

Brazil perlu untuk kembali bersamba jika ingin memastikan status selaku juara dunia sebanyak lima kali tidak terus dimalukan. Corak permainan yang agak 'direct' dan keras tidak sesuai langsung buat Brazil.

Piala Dunia 2018 yang bakal diadakan di Rusia pastikan akan menyaksikan kebangkitan beberapa pasukan selain terdapat pasukan baru yang mampu memberikan kejutan sepertimana yang ditunjukkan oleh Algeria dan Costa Rica.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan