MU berjaya mengharungi perlawanan persahabatan sulung musim baru ini dengan jayanya apabila MU mencatatkan kemenangan besar 7-0 ke atas LA Galaxy. Ianya tambah manis kerana kemenangan tersebut diperoleh dalam perlawanan pertama di bawah kendalian pengurus MU yang baru, siapa lagi kalau bukan LVG.
DDG pastinya akan mengekalkan statusnya selaku penjaga gol utama MU dan akan dibantu oleh Lindegaard. DDG diharapkan dapat meneruskan kecemerlangannya yang ditunjukkan pada musim lepas dengan memastikan MU memperoleh 'clean sheet' sekerap yang boleh.
Jones dan Evans tampak selesa dengan posisi masing-masing cuma Smalling sahaja yang kurang berkesan menjadi pertahanan tengah ketiga. Selain itu, MU sememangnya memerlukan penambahan untuk pertahanan tengah selepas ketiadaan Ferdinand dan Vidic sekaligus menyebabkan MU kekurangan pemain yang cukup berpengalaman. Oleh sebab itulah, MU mensasarkan Mats Hummels dari Borrusia Dortmund dan Thomas Vermaelen dari Arsenal untuk memperkuatkan lagi bahagian pertahanan tengah.
Dengan bahagian pertahanan diisikan dengan tiga orang pemain pertahanan tengah, dua pemain pertahanan kiri dan kanan akan beraksi selaku 'wing back (WB)' yakni boleh melakukan dua tugas iaitu bertahan dan menyerang. Bagi posisi WB kanan, nampak seperti akan menjadi perebutan antara Rafael dan Valencia manakala Shaw pastinya menjadi satu-satunya pilihan MU untuk posisi WB kiri.
Kehadiran kedua-dua WB membolehkan MU mempunyai lima pemain pertahanan atau lima pemain tengah pada sesuatu masa seterusnya memberikan kelebihan buat MU ketika bertahan mahupun menyerang. Walaubagaimanapun, penggunaan WB ini dalam kesebelasan utama MU akan menyebabkan pemain sayap seperti Nani, Young atau mungkin Januzaj sukar untuk menempatkan diri. Berbeza dengan Valencia yang boleh beraksi sama ada sebagai pemain sayap atau pertahanan kanan.
Bahagian tengah menyaksikan dua pemain akan bergandingan di kawasan tengah padang sekaligus memberikan perlindungan yang secukupnya bagi membolehkan pemain tengah menyerang agar lebih bergerak ke hadapan. Aksi sulung Herrera sememangnya cukup memukau. Herrera bijak dalam menghidu peluang untuk membuat hantaran akhir kepada penyerang selain membolehkan MU menguasai permainan di tengah di samping membuka permainan MU dari belakang.
Herrera sudah pasti mengesahkan dirinya untuk satu posisi tengah tersebut dan memerlukan pasangan yang boleh melakukan tugas-tugas defensif serta mampu mengawal rentak permainan. Jadi, posisi ini mungkin akan diisikan sama ada oleh Carrick (pilihan pertama), Fletcher atau Cleverley. Anderson dan Fellaini berkemungkinan besar tidak akan menjadi pilihan LVG bagi tugas sebegitu.
Jika MU berjaya mendapatkan seorang pemain tengah defensif yang tulen dan kental seperti Arturo Vidal atau William Carvalho, bahagian tengah MU akan lebih mantap.
Bagi posisi tengah menyerang pula, rasanya akan menjadi milik Mata dan Kagawa menjadi 'back-up'. Mata dilihat akan menunjukkan kemampuan sebenarnya di posisi tersebut sepertimana yang telah dibuktikannya ketika bersama Chelsea sehinggakan ditabalkan pemain terbaik kelab London tersebut untuk dua musim berturut-turut.
Formasi 3-5-2 ini membolehkan LVG menurunkan dua pemain penyerang serentak dalam setiap perlawanan. Rooney yang sebelum ini gemar untuk turun sedikit ke bawah mungkin tidak lagi perlu berbuat demikian memandangkan bahagian tengah akan mempunyai lima pemain ketika MU sedang menyerang. Jadi, Rooney hanya perlu berada di atas sahaja dan ini mungkin dapat membolehkan Rooney meledakkan lebih banyak gol buat MU.
RVP pastinya menjadi pilihan utama LVG untuk bergandingan dengan Rooney di bahagian serangan. Walaubagaimanapun, kemampuan Welbeck tidak boleh dipandang rendah kerana Welbeck bijak dalam menyesuaikan dirinya mengikut taktikal permainan selain mampu memberikan dinamik buat bahagian serangan MU disebabkan staminanya yang cukup tinggi. Sepertimana Welbeck, Hernandez lebih berperanan selaku 'back-up' kepada Rooney dan RVP.
MU tampak cukup selesa dengan formasi baru ini kerana berjaya mempamerkan corak permainan yang pantas dan lancar selain memudahkan penguasaan permainan. LVG masih lagi mempunyai masa dalam mendapatkan skuad dan formasi terbaiknya selain memberikan ruang kepada pemain-pemain MU lain untuk beraksi bagi menilai kemampuan dan prestasi masing-masing.
Jika perlu, LVG boleh mendapatkan pemain baru yang dirasakan sesuai untuk MU dan falsafahnya walaupun mahal memandangkan MU diberitakan mempunyai dana yang cukup besar bagi menghadapi musim baru ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan