Rabu, 5 November 2014

Tahniah Tok Gajah


Sekalung tahniah diucapkan kepada pasukan Pahang kerana menjuarai Piala Malaysia 2014 selepas menumpaskan JDT menerusi penentuan sepakan penalti. Kejuaraan Pahang tahun 2014 ini mengulangi kejayaan yang dikecapi pada tahun lepas yakni menjadi juara Piala Malaysia dua tahun berturut-turut. Kini, Pahang sudah menjulang Piala Malaysia sebanyak empat kali, menyamai pencapaian Kedah dan Pulau Pinang.

Pahang ternyata tidak menunjukkan sebarang kerunsingan sepanjang perlawanan berlangsung walaupun terpaksa beraksi dengan hanya 10 pemain buat satu tempoh masa yang lama. Segala pergerakan pemain JDT terutamanya di bahagian serangan berjaya dikekang dengan kemas oleh pertahanan Pahang yang diketuai oleh Stewart.

Nwakaeme membuktikan kemampuannya apabila sekali lagi bertindak cemerlang dalam meledakkan gol buat Pahang. Jika di separuh akhir, Nwakaeme membantu Pahang untuk membenam Kedah, dalam perlawanan akhir Nwakaeme menafikan JDT daripada mendapatkan kemenangan dalam 90 minit perlawanan apabila menjaringkan gol penyamaan buat Pahang.

Selain itu, taktikal Zainal Abidin Hassan juga turut menjadi. Permainan JDT serba tidak menjadi walaupun dibarisi ramai pemain handalan. JDT berhadapan kesukaran untuk mencipta peluang-peluang menjaringkan gol selepas Pahang memperoleh gol penyamaan.

Kemantapan yang ditunjukkan Pahang pada tahun ini sememangnya cukup memberangsangkan. Boleh dikatakan semua bahagian Pahang tampak kental. Pahang mampu untuk mengungguli pada tahun hadapan jika dapat mengekalkan skuad sedia ada. Namun, terdapat perkhabaran mengatakan kapten Pahang, Razman akan berhijrah ke Selangor. Namun begitu, skuad Pahang pastinya tidak akan terjejas dengan ketiadaan seorang pemain dan kehadiran pemain baru akan memperkuatkan lagi pasukan pada tahun hadapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan