Jumaat, 5 September 2014

Sapa sangka Kedah boleh pi


Kedah berjaya melangkah ke peringkat suku akhir Piala Malaysia (PM) 2014 apabila menjadi juara Kumpulan B yang turut terdiri daripada Terengganu, Sarawak dan Perak.

Kedah ternyata membuat kejutan besar untuk melepasi halangan peringkat kumpulan apabila tewas dalam dua perlawanan pertama. Walaubagaimanapun, Kedah bangkit untuk menunjukkan persembahan yang baik dalam empat perlawanan berikutnya tanpa sebarang kekalahan.

Dengan dua kemenangan berturut-turut ke atas Sarawak, satu mata dibawa pulang dari Terengganu dan kemenangan bergaya ke atas Perak di halaman sendiri, Kedah mengutip 10 mata, satu mata mengatasi Terengganu yang berada di tangga kedua.

Tan Cheng Hoe yang kini merupakan jurulatih Kedah telah menjumpai formasi dan strategi terbaik yang membolehkan Kedah menunjukkan persembahan bertenaga selepas prestasi yang longlai ketika di saingan Liga Perdana lalu.

Selaku juara kumpulan, Kedah akan menemui naib juara Kumpulan C iaitu Kelantan di peringkat suku akhir nanti. Perlawanan suku akhir pusingan pertama akan berlangsung terlebih dahulu di Kota Bharu pada 3 Oktober manakala pusingan kedua pada 17 Oktober di Alor Setar.

Jika Kedah berjaya melepasi cabaran Kelantan, Selangor atau Felda United akan menanti Kedah di peringkat separuh akhir PM 2014.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan