Jumaat, 21 Februari 2014

Rombakan besar-besaran nampaknya


Sepertimana yang diketahui ramai, MU mengalami kemerosotan prestasi yang amat ketara musim ini. Di bawah pengurusan DM, MU dilihat mengalami kesukaran untuk menampilkan persembahan yang cukup memberangsangkan dan konsisten sekaligus menyaksikan MU berada jauh ketinggalan dari slot empat teratas dalam carta BPL.

Jadi, bagi memastikan MU dapat memberikan saingan yang hebat pada musim hadapan, DM dijangkakan akan melakukan rombakan besar-besaran terhadap skuad utama MU. Ini pastinya akan melibatkan satu jumlah wang yang cukup banyak kerana DM akan berusaha untuk mendapatkan pemain-pemain yang dirasakannya sesuai dan berkelas dunia.

Pemain tengah Bayern Munich, Toni Kroos merupakan salah satu pemain yang dikatakan menjadi sasaran MU pada musim panas ini. Kroos dipercayai bernilai 30 juta pound sememangnya mempunyai bakat yang baik dan ini telah dibuktikan dalam aksinya ketika Bayern Munich bertemu Arsenal baru-baru ini di mana Kroos berjaya menyumbat satu gol menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti.

Toni Kroos

Bukan itu sahaja, Kroos yang ditabalkan sebagai pemain terbaik perlawanan bertindak cukup berkesan di bahagian tengah. Kroos memainkan peranan penting dalam menggerakkan serangan, menguasai bahagian tengah dan menyekat permainan lawan. Ini menjadikan Kroos antara pemain tengah lengkap di dunia ketika ini.

Selain Kroos, MU juga kini sedang mengintai peluang untuk mendapatkan pemain sayap Sporting Lisbon, William Carvalho. Kelab Portugal itu sudah tidak asing lagi dengan MU kerana beberapa musim lepas, MU pernah berurusan dengan mereka ketika mendapatkan Cristiano Ronaldo dan Nani.

William Carvalho

MU dikatakan telah memantau persembahan Carvalho lebih dari sepuluh kali dan menerima khabar yang agak positif apabila Sporting Lisbon sudahpun mengenalpasti pemain baru untuk menggantikan Carvalho dan ini menunjukkan bahawa kelab Portugal itu bersedia untuk melepaskan Carvalho.

MU juga sedang berusaha keras untuk bersaing dengan Chelsea dalam mendapatkan pertahanan kiri Southampton, Luke Shaw memandangkan terdapat kemungkinan Evra tidak akan bersama dengan MU pada musim hadapan. 

 Luke Shaw

Walaubagaimanapun, usaha ini perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin terutamanya dari segi jumlah pembayaran gaji dan peluang beraksi dalam skuad utama kerana Shaw diketahui merupakan peminat Chelsea. 

Jadi, MU perlu mengemukakan yuran perpindahan yang mampu untuk menyebabkan Southampton melepaskan Shaw sementara menawarkan kontrak yang cukup menarik bagi memastikan Shaw berminat untuk menyertai MU. 

MU turut dikaitkan dengan pembelian Strootman dan Cavani. Namun begitu, khabar angin membabitkan dua pemain itu tidaklah begitu kuat berbanding Kroos, Carvalho dan Shaw. 

DM pastinya mengalami sedikit masalah dalam mengenalpasti pemain-pemain sedia ada MU yang perlu dilepaskan bagi memberikan ruang kepada kemasukan pemain baru. Dengan saingan musim ini akan memasuki fasa tiga bulan terakhir, DM akan mengaplikasikan pengalaman dan kemahirannya mendapatkan persembahan terbaik daripada setiap pemain sebelum mengambil keputusan sewajarnya bagi persediaan MU untuk musim hadapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan