Tahniah Hazzirah Izzati pelajar paling muda dianugerahkan PhD UTM
Hazzirah Izzati Mat Hassim dilahirkan pada 18 Mei 1990 di Kota Bharu,
Kelantan. Beliau merupakan anak kedua daripada 8 orang adik beradik,
anak kepada pasangan Mat Hassim bin Daud, seorang Penolong Pegawai
Perubatan di Unit Kecemasan, Hospital Tumpat, Kelantan dan Martinawati
bt. Salleh, seorang guru Bahasa Melayu di sebuah sekolah rendah di Kota
Bharu.
Hazzirah memulakan pengajian peringkat awal di Sekolah Kebangsaan
Kubang Kerian (1) pada tahun 1997. Pada tahun 1999, beliau menduduki
peperiksaan Penilaian Tahap Satu (PTS) yang membolehkannya melangkau ke
Tahun 5 pada usia 10 tahun. Kelulusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah
Rendah (UPSR) telah melayakkannya untuk diterima masuk bagi meneruskan
pengajian di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai pada tahun 2002
selama 3 tahun. Selepas tamat Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dengan
keputusan 8A, beliau memohon untuk ke MRSM Bitara Pengkalan Chepa bagi
meneruskan pengajian tingkatan 4 dan 5.
Peluang belajar di MRSM Bitara
Pengkalan Chepa dimanfaatkan sepenuhnya sehingga ditawarkan untuk turut
serta dalam Program Ekspress UTM-MARA di Universiti Teknologi Malaysia
(UTM) Johor Bahru : sebaik sahaja tamat peperiksaan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) pada tahun 2006 dalam usia 16 tahun. Pemilihan pelajar
untuk mengikuti program ini adalah berdasarkan keputusan peperiksaan
percubaan SPM. Beliau kemudiannya mengikuti Program Persediaan
Pra-Ijazah selama enam (6) bulan di UTM Johor Bahru bermula Januari 2007
hingga Jun 2007. Berdasarkan keputusan SPM (7A1, 3A2) dan keputusan
peperiksaan akhir Program Ekspress UTM-MARA beliau berjaya untuk
menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik)
dengan mendapat pinjaman boleh ubah dari MARA.
Selepas tiga (3) tahun mengharungi pengajian, beliau berjaya
menamatkan pengajian dan bergraduasi pada Oktober 2010 dan telah
dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dengan Kepujian
Kelas Pertama dalam usia 20 tahun. Ekoran daripada itu, pihak MARA telah
menukarkan pinjaman boleh ubah kepada biasiswa penuh. Beliau
kemudiannya ditawarkan pula oleh UTM untuk melanjutkan pengajian terus
ke peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) di bawah program Ph.D Fast Track
UTM. Beliau menerima tawaran dan memilih untuk menjalankan kajian dalam
bidang Matematik Tulen dan menerima biasiswa MyPhD yang ditawarkan oleh
pihak KPT.
Objektif utama tesis Ph.D beliau yang bertajuk “The Homological
Functors of Bieberbach Groups with Cyclic Point Groups of Order Two,
Three and Five” adalah untuk menentukan beberapa struktur matematik baru
bagi kumpulan kristalografi bebas kilasan yang dikenali sebagai
kumpulan Bieberbach. Sepanjang pengajian, beliau telah berjaya
menerbitkan beberapa kertas kerja dalam jurnal-jurnal berindeks dan
tidak berindeks (lihat lampiran untuk senarai penerbitan beliau). Selain
itu, beliau turut menyumbang dalam penerbitan buku “Advances in Group
Theory, DNA Splicing and Complex Analysis” melalui dua bab bertajuk “The
Nonabelian Tensor Squares of Some 2-Engel Groups” serta “Homological
Functors of Some Finite Two-Generator Two-Groups of Nilpotency Class
Two”. Beliau juga telah berjaya mendapatkan hakcipta dari UTM untuk
projek beliau yang bertajuk “GAP Algorithms on the Computation of the
Nonabelian Tensor Squares and Homological Functors of 2-Engel Groups of
Order at Most 16 (GAP_NTS&HF2E)”.
Bagi meluaskan jaringan penyelidikan yang dijalankan, beliau terlibat
secara aktif dalam kolaborasi penyelidikan bersama penyelidik dari
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Di samping itu, dalam
menyempurnakan kajian projek Ph.D, beliau telah mengikuti Penyelidikan
Sangkutan (Research Attachment) di bawah penyeliaan penyelidik ternama
dari universiti di dalam dan luar negara termasuk UPSI, Perak pada April
2012, Januari 2013 dan April 2013; Ferdowsi University of Masshad, Iran
pada Januari – Februari 2012, University of Palermo, Itali pada April
2012 dan University of Brasilia, Brazil pada Mei 2013. Beliau juga telah
membentangkan hasil penyelidikannya di persidangan antarabangsa seperti
Iranian Algebra Seminar di Sabzevar, Iran pada Januari 2012 , Biennial
International Group Theory Conference di Istanbul, Turki pada Februari
2013, Asian Mathematical Conference di Busan, Korea pada Julai 2013,
Algebra Seminar di University of Brasilia, Brazil pada Mei 2013 dan
Algebra Seminar di Bandung, Indonesia November 2013.
Tidak hanya
tertumpu pada akademik dan penyelidikan, beliau turut bergiat aktif
dalam persatuan Pasca Siswazah di peringkat Jabatan dan Fakulti serta
terlibat dalam penganjuran beberapa program seperti Bengkel LATEX,
Bengkel Groups, Algorithms and Programming (GAP), Bengkel Penyediaan
Tesis dan Jurnal serta persidangan peringkat antarabangsa termasuk
Biennal International Group Theory Conference (BIGTC) yang diadakan pada
Februari 2011 dan International Science Postgraduate Conference (ISPC)
pada November 2012. Di samping itu, beliau turut melibatkan diri sebagai
ahli jawatankuasa pelaksana beberapa program anjuran Persatuan Sains
Matematik Malaysia (PERSAMA) seperti Olimpiad Matematik Kebangsaan
(2010-2014) dan Anugerah PERSAMA (2010-2012).
Pada 1 April 2014, Hazzirah telah menjalani Peperiksaan Lisan bagi
pengajian Doktor Falsafahnya dan tesis Ph.D beliau telah diluluskan
dengan pembetulan kecil. Setelah menyiap dan menghantar pembetulan
tesis, beliau telah diperakukan oleh Jawatankuasa Senat UTM dan lulus
Ijazah Doktor Falsafah pada usia 24 tahun 2 bulan.
sumber: http://www.news.utm.my/2014/09/tahniah-hazzirah-izzati-pelajar-paling-muda-dianugerahkan-phd-utm/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan