Selasa, 7 Januari 2014

Review: MU vs Swansea City (FA Cup)


Keputusan perlawanan:

MANCHESTER UNITED 1
Hernandez 16'

SWANSEA CITY 2
Routledge 12'
Bony 90'



Pemain terbaik perlawanan:

WAYNE ROUTLEDGE


Kesebelasan utama MU:


Pertukaran pemain:

Januzaj >> Valencia
Fabio >> Ferdinand


Ulasan perlawanan:

Episod kedukaan MU nampaknya berterusan apabila tersingkir dari saingan Piala FA musim ini selepas tewas 1-2 kepada Swansea City (SC) di halaman sendiri dalam perlawanan pusingan ketiga.

DM terpaksa melakukan rombakan besar-besaran terhadap kesebelasan utama MU apabila sebilangan besar pemain utama mengalami kecederaan. Lindegaard mengambil tempat DDG di posisi penjaga gol, Ferdinand bergandingan dengan Evans di pertahanan tengah manakala Smalling dan Buttner mengisi slot di pertahanan kanan dan kiri.

Bahagian tengah pula menyaksikan Fletcher diturunkan dalam kesebelasan utama MU untuk berpasangan dengan Cleverley. Valencia beraksi di sayap kanan sementara Kagawa di sayap kiri. Welbeck bertindak di belakang Hernandez yang mengepalai serangan MU.

MU dikejutkan seawal minit ke-12 apabila SC menjaringkan gol pertamanya menerusi Routledge yang bijak melepasi kawalan Smalling dan Evans. Routledge dengan tenang melambungkan bola yang gagal dijangkau oleh Lindegaard.

Tersentak dengan gol tersebut, MU memperkemaskan corak permainanan. Peluang MU untuk menyamakan kedudukan terhidang apabila Welbeck bijak membuat hantaran kepada Hernandez tetapi oleh kerana kegopohan, Hernandez gagal menyepak bola dengan kemas. Menerusi hantaran lintang Buttner, Hernandez berjaya mencari ruang dan kemudiannya mudah menolak masuk bola ke dalam gawang SC sekaligus menjadikan kedudukan 1-1.

MU cuba untuk memburu gol tambahan tetapi kegagalan untuk mencipta hantaran yang benar-benar berkesan menyebabkan MU berputih mata. Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

MU bermula dengan agak baik pada separuh masa kedua. Namun, seperti pada separuh masa pertama, hantaran akhir MU tidak begitu menjadi dan menyebabkan Hernandez dan Welbeck lebih banyak berlegar-legar di luar kotak penalti.

Walaupun lebih selesa untuk bertahan, SC turut berjaya melancarkan serangan ke arah pintu gol MU. Walaupun tidak banyak, tetapi serangan SC tampak lebih berbahaya.

Oleh kerana kecederaan yang menimpa Ferdinand dan layangan kad merah kepada Fabio, Fletcher terpaksa bermain di pertahanan kanan dan ini memberikan peluang kepada SC untuk mengeksploitasikan kepantasan Routledge untuk mengucar-kacirkan pertahanan MU.

Bony menjaringkan gol kemenangan SC apabila menyambut hantaran Routledge seterusnya memberikan kedukaan kepada MU. MU kini berada dalam keadaan tertekan selepas mengalami beberapa siri kekalahan di halaman sendiri. Jadi, pertemuan dengan Sunderland dalam perlawanan separuh akhir Capital One Cup perlu menjadi kebangkitan buat MU.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan