Isnin, 27 Januari 2014

Camna dengan formasi ni?


DM memberikan kegembiraan buat peminat MU apabila berjaya mendapatkan Juan Mata dengan rekod pembelian pemain tertinggi dalam sejarah MU. Pembelian tersebut boleh dianggap sesuatu yang amat bernilai buat MU memandangkan Mata merupakan pemain terbaik Chelsea buat dua musim berturut-turut. Namun, pengurus Chelsea, Mourinho menganggap Mata tidak mampu memberikan sumbangan yang cukup bermakna kepada Chelsea musim ini kerana Mata dikatakan kurang menjalankan tugas-tugas defensif yang diperlukan oleh pasukan.

Jadi, adakah kemasukan Mata ke MU akan memberikan kelebihan atau kekurangan buat MU? Pada pendapat aku, Mata mampu untuk menyinar di MU kerana beberapa sebab, antaranya:

  1. mempunyai daya kreativiti yang tinggi. Berdasarkan statitistik permainannya, Mata merupakan pemain yang mencipta banyak peluang dan membantu menghasilkan gol buat Chelsea.
  2.  terbukti kemampuannya beraksi dalam BPL. Beraksi cemerlang dalam dua musim bersama Chelsea sehingga menjadi pilihan peminat Chelsea untuk dinobatkan sebagai pemain terbaik.
  3. mampu untuk menghasilkan gol sama ada secara gol padang ataupun menerusi situasi bola mati. Kebolehan mengambil sepakan percuma Mata agak menakjubkan.

Mata dilihat begitu cemerlang dan berkesan bagi melancarkan serangan, namun begitu Mata kurang memberikan sumbangan dalam membantu pasukan ketika pasukan lawan mempunyai kawalan bola. Jadi, Mata memerlukan rakan pasukan di bahagian tengah yang menjalankan tugas defensif sementara Mata memainkan peranannya menjana serangan. 


Berdasarkan formasi di atas, Mata akan beraksi di belakang RVP dengan menjalankan tugas selaku 'Nombor 10'. Rooney pula akan ditolak sedikit ke kanan tetapi tidaklah terlalu ke tepi seperti pemain sayap dan akan bertukar-tukar posisi dengan Mata. Januzaj mungkin memainkan peranan seperti pemain sayap dengan berada lebih kerap ke sebelah tepi.

Fellaini dan Jones pula mampu untuk memberikan perlindungan yang baik kepada pertahanan MU selain menguasai kawasan tengah padang memandangkan kedua-dua mereka mempunyai susuk tubuh yang tinggi dan corak permainan yang keras. Kehadiran mereka berdua di bahagian tengah membolehkan Mata menumpukan perhatian dalam melancarkan serangan. 

Tetapi gandingan Fellaini - Jones ini boleh digunapakai untuk beberapa musim akan datang bagi mengambil alih tugas Carrick dan Fletcher yang merupakan pemain senior MU selain cukup dengan pengalaman dan kematangan yang sukar dicabar oleh Fellaini dan Jones ketika ini.

Mungkin sudah tiba masanya, DM menetapkan pasangan pertahanan tengah MU bagi menggantikan Ferdinand dan Vidic. Setakat ini, Evans dan Smalling tampak mantap ketika beraksi bersama. Rafael pula perlu terus diberikan peluang untuk menyinar di MU walaupun mungkin belum matang dalam membuat keputusan. 

Seperti Vidic dan Ferdinand, Evra juga perlu diketepikan bagi memberikan peluang kepada pemain baru di pertahanan kiri. Pemain muda Southampton, Luke Shaw atau Fabio Coentrao boleh mengisikan slot tersebut memandangkan Evra bukan sahaja semakin kurang dari segi kepantasan, malah kerap melakukan kesilapan yang mengakibatkan MU gagal bertahan dengan kemas.

Disebabkan Januzaj masih lagi muda, adalah lebih baik DM mendapatkan pemain baru bagi mengisi slot pemain sayap kiri. Marco Reus dilihat sebagai calon yang sesuai berdasarkan prestasinya bersama Borussia Dortmund. Tetapi jika Kagawa masih lagi berpeluang untuk beraksi, Kagawa mungkin mengambil tugas di belakang RVP manakala Mata diletakkan di sayap kiri.

DM akan cuba memperkuatkan skuad MU dengan membawa masuk beberapa pemain baru tetapi dalam pada masa yang sama, memperbaiki kelemahan dan mempertingkatkan prestasi pemain sedia ada. Yang penting, para peminat MU harus bersabar dengan proses ini yang mungkin mengambil sedikit masa dan memberikan peluang kepada DM untuk membuktikan kemampuannya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan