Rabu, 28 Disember 2016

Ada peningkatan dah


JM nampaknya sudah dapat mengenalpasti kesebelasan utama terkuat MU di kala ini.

MU kini tidak tewas dalam 9 perlawanan yang dilalui. Antara faktor utama yang menyumbang kecemerlangan MU ini adalah tindakan JM menurunkan kesebelasan utama MU secara tetap untuk sebahagian besar posisi.

Jones dan Rojo tampak mantap ketika ini di bahagian pertahanan tengah. Kedua-dua mereka menunjukkan kesefahaman yang baik tatkala Bailly masih belum cergas sepenuhnya manakala Smalling gagal mencuri perhatian JM untuk diturunkan. Valencia pula boleh dikatakan telah berjaya ditukar sepenuhnya menjadi pertahanan kanan dan ternyata Valencia cukup cemerlang memainkan peranan terbarunya. Pertahanan kiri sahaja yang kini menjadi rebutan antara Blind, Darmian dan Shaw.

Sumbangan Carrick di bahagian tengah memang tidak dapat dinafikan. Kesan kehadiran Carrick dapat dilihat apabila MU langsung tidak tewas acapkali Carrick diturunkan dalam kesebelasan utama musim ini. Dengan Carrick ditugaskan melindungi bahagian pertahanan, Herrera pula bijak melaksanakan tugasnya sebagai penghalang utama pergerakan pasukan lawan sekaligus memberikan kelebihan kepada MU untuk menguasai kawasan tengah padang.

Dengan adanya Carrick dan Herrera, Pogba boleh memberikan tumpuan kepada menjana serangan dan membuka permainan MU. Pogba semakin menonjol dalam setiap perlawanan selepas JM seolah-olah memberikan lesen kepadanya untuk lebih bergerak ke hadapan.

Ibrahimovic ternyata sudah dapat menyesuaikan diri dalam BPL. Kelibatnya dalam kotak penalti lawan amat menggerunkan kerana kini Ibrahimovic bukan sahaja berupaya menjaringkan gol, malah mampu membuat 'assist' kepada rakan sepasukan.

Cuma dua posisi di bahagian serangan sahaja yang perlu difikirkan oleh JM untuk siapa yang perlu mengisi posisi tersebut. JM mempunyai pelbagai pilihan iaitu Rooney, Mata, Mkhitaryan, Lingard, Rashford dan Memphis bagi posisi penyerang kiri dan kanan bagi membantu Ibrahimovic.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan