Isnin, 24 Oktober 2016

Prestasi yo-yo


Sekejap menang, sekejap kalah.

Prestasi MU cukup tidak konsisten ketika ini. Dalam satu perlawanan, MU mampu menampilkan persembahan yang cukup bertenaga, dan dalam perlawanan berikutnya, prestasi MU cukup hambar. Mungkin salah satu punca adalah kesilapan JM dalam memilih pemain untuk kesebelasan utama MU selain gagal untuk mengekalkan kesebelasan utama MU agar lebih konsisten untuk setiap perlawanan.

Apa yang menarik adalah apabila MU tumpas atau tidak memberikan aksi yang cemerlang dalam satu-satu perlawanan, boleh dikatakan tidak banyak media yang menunding jari menunjukkan kesalahan mana-mana pemain. Namun, apabila Rooney diturunkan dan persembahan MU tidak bagus, sudah pasti Rooney menjadi sasaran yang amat mudah.

Bagi perlawanan menentang Chelsea malam tadi, sepatutnya pemain yang berpengalaman seperti Rooney, Carrick, Mata atau Martial diturunkan dalam kesebelasan utama MU. Bertemu dengan pasukan yang hebat seperti Chelsea memerlukan pemain yang ada pengalaman dan ketenangan apabila beraksi.

Persembahan Rashford, Lingard dan Fellaini, pada pendapat aku memang agak mengecewakan. Selain itu, kerapuhan di benteng pertahanan MU menyebabkan Chelsea berupaya menjaringkan gol walaupun tidak menguasai majoriti permainan.

Aku merasakan JM tersilap dalam membuat jangkaan dalam menghadapi Chelsea apabila menurunkan kesebelasan utama yang hampir sama ketika bertemu Liverpool pada minggu lepas. Tidak lain dan tidak bukan, tujuannya adalah untuk bermain secara defensif dan mengharapkan untuk melancarkan serangan balas secara pantas. 

Namun, permainan Chelsea tidak sama dengan Liverpool di mana malam tadi, Chelsea seolah-olah memberikan ruang kepada MU untuk menguasai permainan dan lebih selesa beraksi secara defensif sambil menanti peluang untuk serangan balas. Apabila Chelsea beraksi sedemikian, JM yang menurunkan kesebelasan utama untuk taktikal yang hampir sama seperti Chelsea, mengundang padah kerana pemain MU yang diturunkan tidak bijak untuk mengatur permainan. Ini sekaligus, merencatkan permainan serangan MU disebabkan bola banyak berlegar-legar di kawasan tengah padang.

JM perlu mengambil tindakan dan keputusan yang lebih tepat untuk perlawanan seterusnya dan diharapkan tidak mencorakkan taktikal yang agak negatif setiap kali bertemu dengan pasukan hebat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan