Khamis, 17 Januari 2013

Review: MU vs West Ham United (FA Cup replay)


Keputusan perlawanan: 

MANCHESTER UNITED 1
Rooney 9'

WEST HAM UNITED 0


Pemain terbaik perlawanan (pilihan MBD):

RYAN GIGGS


Kesebelasan utama MU:


Pertukaran pemain:

Carrick >> Anderson
Scholes >> Nani


Ulasan perlawanan:

Gol tunggal yang dijaringkan oleh Rooney seawal minit ke-9 sudah cukup untuk membolehkan MU menumpaskan West Ham United (WHU) dalam perlawanan ulangan pusingan ketiga Piala FA. Kemenangan tersebut melayakkan MU ke pusingan keempat di mana MU bakal menentang Fulham dalam perlawanan yang akan berlangsung di OT nanti.

SAF melakukan rombakan besar-besaran terhadap kesebelasan utama MU. Walaupun matlamat utama adalah untuk mengecapikan kemenangan, namun perlawanan awal pagi tadi juga memberikan peluang kepada pemain-pemain yang baru pulih dari kecederaan dan yang memerlukan permainan untuk beraksi.

Seperti yang telah dinyatakan oleh SAF, Rooney, Anderson dan Nani diturunkan selepas masing-masing kembali cergas. Barisan kesebelasan utama MU turut memperlihatkan Giggs, Jones, Smalling, Buttner, Lindegaard, Chicharito dan Valencia kembali beraksi. Hanya Rafael seorang sahaja yang mengekalkan posisinya.

MU memulakan perlawanan dengan baik apabila menguasai sebahagian besar permainan dalam separuh masa pertama. Giggs dan Anderson bergandingan dengan cukup berkesan dalam memberikan kelebihan MU di bahagian tengah. Ini membolehkan MU mudah untuk mengucar-kacirkan pertahanan WHU terutamanya menerusi larian Nani dan Valencia. Giggs tampak berfungsi dengan baik dalam menjana pergerakan MU.

Menerusi hantaran cantik daripada Anderson, Chicharito bijak melepasi perangkap offside WHU lalu melarikan bola ke kotak penalti lawan. Walaupun Chicharito boleh dikatakan mempunyai ruang untuk menjaringkan gol, Chicharito memilih untuk membuat lorangan bola kepada Rooney yang kemudiannya hanya perlu menolak masuk bola ke dalam gawang gol yang ternganga.

Gol tersebut memberikan semangat kepada MU untuk memburu lebih banyak jaringan gol. Walaubagaimanapun, serangan demi serangan yang dilancarkan gagal memecahkan benteng pertahanan WHU yang kental bertahan. Tambahan pula, bahagian serangan MU juga tidak menunjukkan ketajaman yang sepatutnya. Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan 1-0 berpihak kepada MU.

Separuh masa kedua menyaksikan WHU menunjukkan aksi yang lebih garang bagi mendapatkan gol penyamaan. Seperti menjadi kegemaran dan kebiasaan Allardyce, umpanan tinggi dari jarak jauh ke dalam kotak penalti menjadi taruhan WHU dalam melancarkan serangan ke arah pintu gol MU.

Pujian harus diberikan kepada Smalling dan Jones yang beraksi dengan cukup baik. Mereka berdua bukan sahaja begitu berkesan merantai penyerang WHU, malah bijak membaca dan memintas sebahagian besar pergerakan pemain WHU sebelum dapat membuat percubaan ke arah pintu gol MU.

MU jelas tertekan dengan corak permainan yang ditunjukkan oleh WHU. Sekali sekala MU cuba untuk mengancam WHU tetapi larian Nani dan Valencia kerap tersangkut selain melakukan hantaran yang tidak kemas. MU kemudiannya memasukkan Carrick bagi menggantikan Anderson yang tampak kepenatan. Kehadiran Carrick sedikit sebanyak membolehkan MU mengimbangi permainan WHU.

MU dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan apabila percubaan Giggs untuk membuat hantaran silang telah terkena tangan pemain WHU. Walaubagaimanapun, sepakan penalti yang diambil oleh Rooney gagal menepati sasaran di bawah bola sepakannya jauh melewati palang gol. 

Kegagalan Rooney untuk menambahkan jaringan menyebabkan MU terpaksa menahan asakan dan serangan WHU sehingga wisel penamat dibunyikan. SAF mungkin kecewa kerana MU hanya mampu untuk menewaskan WHU dengan hanya satu gol selepas mencipta beberapa peluang berharga tetapi sedikit sebanyak berasa lega kerana MU layak ke pusingan seterusnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan