Ahad, 27 Januari 2013

Review: Kedah vs NS Betaria FC (Piala FA)


Keputusan perlawanan:

KEDAH 3
Khyril 40'
Santos 47' (pen)
Akmal 72'

NS BETARIA FC 0


Ulasan perlawanan:

Kedah menggunakan kelebihan beraksi di halaman sendiri yang dipenuhi hampir dua puluh ribu peminat Hijau Kuning untuk menewaskan NS Betaria FC (NSBFC) dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA. Kedah mencatatkan kemenangan selesa 3-0 ke atas NSBFC dengan Khyril, Santos dan Akmal masing-masing meledakkan satu gol.

Kedah memulakan permainan dengan berhati-hati walaupun jika dilihat, prestasi NSBFC tidaklah begitu memberangsangkan dalam saingan LPM musim ini. Jurulatih Kedah, Tot dikatakan telah melakukan kajian mendalam dengan melihat rakaman aksi permainan NSBFC beberapa kali bagi membuat persediaan yang terbaik dalam pertemuan Kedah dengan NSBFC.

Syabas juga diucapkan kepada pemain Kedah yang berjaya menterjemahkan strategi dan taktikal yang direncanakan oleh Tot sehingga mampu untuk memperoleh kemenangan yang cukup berharga sekaligus melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

Kehadiran semula Nelson seolah-olah mengembalikan nafas dan semangat Kedah yang sebelum ini seperti hilang dalam beberapa musim lalu. Nelson memainkan peranan yang cukup penting dalam mencorakkan pergerakan Kedah dari kawasan tengah. Gandingan Nelson bersama Zuraindey boleh dikatakan cukup berkesan memandangkan kedua-duanya menunjukkan persefahaman yang baik.

Kedah memecahkan kebuntuan gol pada minit ke-40 apabila Khyril membuktikan kemampuannya selaku penyerang utama Kedah dengan mudah menolak masuk bola untuk gol pertama Kedah selepas menerima umpanan Santos dari sebelah kanan yang sebelum itu bijak melarikan bola melepasi kawalan pertahanan NSBFC.

Santos akhirnya menjaringkan gol pertamanya dalam skuad Hijau Kuning selepas tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kedua Kedah. Sejurus gol tersebut, NSBFC tampak tidak bersemangat untuk bangkit dan ini memberikan peluang kepada Kedah untuk menguasai permainan dan mula melancarkan serangan bertali arus dari sebelah kiri dan kanan.

Akmal yang kembali menyarung jersi Kedah selepas enam tahun berkelana menjaringkan gol ketiga Kedah menerusi tandukan menarik yang menewaskan penjaga gol NSBFC. Kedah sepatutya boleh menambahkan beberapa lagi jaringan jika tidak kerana keputusan pengadil perlawanan dan kegagalan Akmal menyepak dengan tepat ke arah pintu gol.

Kemenangan ke atas NSBFC membolehkan Kedah layak ke pusingan ke-2 dan dijadualkan untuk bertemu dengan pasukan yang digelar 'Man City Malaysia' iaitu Darul Takzim FC (DTFC) yang menewaskan Perak dengan keputusan 1-0 di pusingan pertama. Pertemuan dengan DTFC ini pastinya menjanjikan aksi yang lebih menarik dan Kedah semestinya ingin membuktikan kemampuan walaupun tersingkir dari saingan LSM musim ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan