Jumaat, 11 Januari 2013

Entri ke1000


Sempena entri ke1000 blog MBD, aku selaku admin tunggal bagi blog ini ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan memberikan penghargaan kepada semua pengunjung, pengikut, pembaca dan sesiapa sahaja yang pernah melayari blog ini. Tanpa sokongan secara langsung atau tidak langsung daripada anda semua, blog MBD pastinya tidak dapat bertahan sehingga ke hari ini.

Aku sendiri tidak pernah menyangkakan untuk memiliki sebuah blog. Tetapi dengan niat untuk berkongsi pendapat, cerita dan sebagainya membuatkan aku memberanikan diri untuk menceburkan diri dalam dunia blog. Selain itu, aku turut menjadikan blog MBD sebagai platform buat diri aku untuk menjalani latihan dan membiasakan diri dalam mengarang sesuatu cerita mahupun apa sahaja dengan menggunakan bahasa baku. Mungkin, aku juga sedikit sebanyak dapat memperbanyakkan dan memperkembangkan lagi idea dan kebolehan untuk menulis.

Kepada yang belum mengetahui bagaimana boleh wujudnya blog ini, di sini aku akan kongsikan sedikit sejarah. Nama MANAGER BOLA ini sebenarnya nama yang selalu aku gunakan semasa bermain FM atau CM. Gabungan satu perkataan Bahasa Inggeris dan satu lagi Bahasa Melayu tampak sesuai dan seterusnya aku menggunakan nama ini dalam forum HKC.

Bermula dari saat menyertai forum HKC, aku mula dikenali dengan MANAGER BOLA. Aku boleh dikatakan aktif dalam memberikan posting dalam forum HKC. Namun, seperti mana-mana forum, ianya mempunyai peraturan dan cara tertentu untuk memberikan posting bagi memastikan keharmonian antara ahli-ahli forum. Jadi segala posting aku dalam forum tersebut tidak menonjolkan sepenuhnya hasrat dan keinginan yang aku ingin sampaikan.

Maka, setelah berfikir panjang dan cadangan daripada isteri tercinta, akhirnya aku memutuskan untuk mempunyai sebuah blog. Aku tidak menghadapi kesukaran dalam mencari nama yang sesuai untuk blog kerana aku mengekalkan penggunaan MANAGER BOLA dan memanjangkannya sedikit dengan menambahkan DEPARTMENT di belakang. Secara singkatannya, MANAGER BOLA DEPARTMENT menjadi MBD, sama seperti nombor plat motorsikal ketiga yang pernah aku miliki.

Bagaimana pula dengan fokus blog aku ini? Oleh kerana aku sememangnya meminati dan menyokong pasukan KEDAH dan MANCHESTER UNITED, pastinya blog aku ini akan lebih menjurus kepada kedua-dua pasukan. Walaubagaimanapun, aku juga tidak ketinggalan menyelitkan cerita-cerita bola sepak dari pasukan lain.

Jadi, inilah serba sedikit sejarah blog MBD. Diharapkan anda semua, tidak kiralah, pengunjung, pembaca, pengikut dan sebagainya akan terus memberikan sokongan kepada blog MBD. Aku juga amat mengalu-alukan sebarang cadangan, komen atau kritikan membina bagi memastikan blog MBD menjadi salah satu blog yang memberikan informasi kepada anda semua. Sekali lagi, aku ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan