Keputusan perlawanan:
KEDAH 2
Baddrol 5', 27'
JOHOR 1
Izwan 65'
Kesebelasan utama Kedah:
sumber: KedahLanie.info
Ulasan perlawanan:
Baddrol menjadi wira buat Kedah apabila berjaya meledakkan dua gol yang seterusnya memberikan kemenangan 2-1 Kedah ke atas Johor dalam perlawanan yang berlangsung di SDA. Kemenangan Kedah tersebut seolah-olah menjadi hadiah hari lahir buat YDP Agong Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-85.
Seperti yang telah dijangkakan, jurulatih Kedah, Tot telah melakukan perubahan dari segi formasi tetapi mengekalkan sebahagian besar pemain dalam kesebelasan utama Kedah yang beraksi ketika tumpas 0-2 di tangan PDRM. Ternyata keputusan tersebut membuahkan hasil apabila Kedah berjaya mengutip mata penuh dan menjadikan kutipan mata Kedah setakat ini berjumlah sembilan mata dari empat perlawanan.
Kedah tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol apabila rembatan deras kaki kiri Baddrol menerjah jaring gol Johor selepas larian bijak Santos yang menyebabkan pertahanan Johor menjadi kucar-kacir. Dengan tidak dikawal oleh pemain Johor, Baddrol yang keseorangan di penjuru atas kotak penalti Johor mudah untuk melepaskan rembatan deras untuk gol pertama Kedah.
Kedah kemudiannya cuba melancarkan serangan ke arah pintu gol Johor. Namun, gerakan yang dilancarkan tidak begitu berkesan kerana kurang melakukan lorongan mahupun hantaran yang cukup bagus bagi membolehkan Santos mahupun Khyril untuk menambahkan jaringan.
Kedah memperoleh gol kedua sekali lagi menerusi Baddrol. Gol kedua Kedah dihasilkan menerusi sepakan penjuru yang diperoleh Kedah di mana bola singgah di kaki Baddrol sebelum membuat rembatan deras yang gagal dihalang oleh penjaga gol mahupun pertahanan Johor. Separuh masa pertama tamat dengan Kedah mendahului Johor 2-0.
Separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan beraksi dengan berhati-hati. Johor akhirnya memecahkan kebuntuan apabila menjaringkan gol tunggal pasukan menerusi gol tandukan Izwan. Gol tersebut seperti membangkitkan semangat pemain Johor untuk mendapatkan gol penyamaan. Namun begitu, Kedah berjaya menahan asakan Johor dengan baik.
Johor terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 orang pemain selepas seorang pemainnya diarahkan keluar padang kerana menerima layangan kad merah. Dengan kelebihan seorang pemain tatkala sedang mendahului pihak lawan, Kedah memperlahankan rentak permainan sehingga wisel penamat ditiupkan bagi memastikan tiga mata berjaya diperoleh.
Selepas empat perlawanan, Kedah kini berada di tangga ke-4 liga dengan kutipan sembilan mata. Yang penting, Kedah harus berusaha memastikan setiap perlawanan yang dihadapi akan memberikan tiga mata penuh. Ini adalah penting jika Kedah ingin melayakkan diri semula ke Liga Super di musim hadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan