Keputusan perlawanan:
MANCHESTER UNITED 3
Chicharito 58', 63', 87'
ASTON VILLA 2
Weimann 45+1', 50'
Pemain terbaik perlawanan (pilihan MBD):
CHICHARITO
Kesebelasan utama:
Pemain gantian:
Chicharito >> Young
Cleverly >> Scholes
Anderson >> Rooney
Ulasan perlawanan:
Chicharito yang beraksi dari bangku simpanan menggantikan Young sebaik bermulanya separuh masa kedua menjadi watak penting memberikan kemenangan kepada MU apabila menjaringkan hatrik (pada pendapat aku) yang membantu MU untuk bangkit selepas ketinggalan 0-2.
Kemenangan yang dicatatkan di Villa Park merupakan kali ke7 MU berjaya bangkit dari ketinggalan untuk mengutip tiga mata dan iainya merupakan satu rekod bagi satu musim sepanjang berlangsung BPL. Dalam musim ini sahaja, MU berjaya bangkit dalam lapan perlawanan.
Aston Villa (AV) mengejutkan MU dengan serangan balas yang pantas dan seperti yang dijangkakan, menggunakan kelajuan penyerangnya iaitu Benteke dan Agbonlahor untuk mengucar-kacirkan pertahanan MU. Taktikal dan strategi yang digunakan memberikan hasil apabila AV berjaya menjaringkan dua gol menerusi Weimann.
Walaupun menguasai sebahagian besar permainan, MU sebenarnya gagal mencipta peluang yang baik dengan bola lebih banyak berlegar-legar di kawasan tengah padang menerusi pertukaran hantaran antara pemain MU. Ini adalah kerana AV bertahan dengan penuh disiplin dan menjaga pemain secara kawalan satu lawan satu sekaligus menyukarkan MU untuk mencari ruang melancarkan serangan.
Seharusnya Scholes menjadi perancang pergerakan MU, tetapi kawalan dan halangan yang dilakukan oleh Ireland menyebabkan Scholes gagal berbuat demikian dan melakukan beberapa kesilapan yang mengundang padah buat MU. Gandingan Scholes dan Carrick kelihatan begitu longgar dan kelemahan tersebut dihidu oleh AV yang bijak mengekspolitasikan ruang antara pemain tengah dan pertahanan MU dengan berkesan.
Oleh kerana ketiadaan perlindungan yang sebaiknya daripada bahagian tengah, pertahanan MU yang sememangnya tidak begitu laju, terdedah dengan kepantasan penyerang AV. Akibatnya, AV memperoleh dua gol menerusi Weimann hasil serangan pantas. Jika dilihat dengan lebih mendalam, dua gol AV adalah berpunca dari sebelah kanan MU iaitu di posisi Rafael. Selain menghadapi tekanan dari Agbonlahor, Rafael juga tidak menerima bantuan secukupnya daripada Valencia.
Persembahan Valencia agak mengecewakan kerana tidak banyak hantaran lintang yang cantik berjaya dilakukan. Valencia tampak teragak-agak untuk menggelecek pemain lawan serta kerap membuat hantaran mudah ke belakang seterusnya merencatkan pergerakan MU. Jadi, adalah benar pendapat mengatakan Valencia tidak akan efektif apabila berfikir ketika bermain. Ini adalah kerana, ketika Valencia hanya bermain secara biasa iaitu melarikan bola, menggelecek lawan dan melakukan hantaran secara terus, permainan Valencia tampak lebih menarik.
Kekentalan barisan pertahanan AV menyebabkan Rooney dan RVP sukar untuk melancarkan serangan. Kelemahan Scholes dan Carrick mengemudikan bahagian tengah mengakibatkan Rooney terpaksa bergerak ke bawah membantu Scholes dan Carrick seterusnya menyebabkan RVP keseorangan di bahagian atas. Selain itu, Young yang berhadapan dengan kelab lamanya turut tenggelam.
Kemasukan Chicharito pada separuh masa kedua benar-benar menjelmakan kelainan buat MU. Kebijaksanaan dan kepantasan Chicharito menjadikan pertahanan AV kelam-kabut dan ini memberikan ruang kepada Rooney dan RVP untuk bergerak. Scholes yang kehilangan arah pada separuh masa pertama berjaya membuat umpanan cantik kepada Chicharito yang selepas itu merembat bola menewaskan Guzan untuk gol pertama MU.
Chicharito kemudiannya sekali lagi meledakkan gol kedua MU selepas bijak mencari ruang dalam kotak penalti penalti untuk menerima hantaran lintang dan merembat masuk bola yang terkena kapten AV. Selepas dua gol tersebut, AV kehilangan semangat dan MU mula mengancam untuk mencari gol kemenangan.
Oleh kerana bermain secara pantas dan mengamalkan 'pressing game' sepanjang perlawanan, pemain AV tampak keletihan ketika permainan berbaki 20 minit. Ini memberikan ruang kepada MU untuk terus melancarkan serangan. Hasil usaha gigih, MU akhirnya memperoleh gol kemenangan menerusi tandukan Chicharito yang menyambut sepakan percuma RVP.
RVP tidak bernasib baik untuk mencatatkan nama selaku penjaring apabila percubaannya dua kali menyinggah palang gol. MU menarik nafas lega dengan tiga mata penuh sekaligus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas carta liga selain memperlihatkan kemampuan untuk bengkit dari ketinggalan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan