Ahad, 7 Oktober 2012

Preview: MU vs Newcastle United (BPL)


Pertembungan buat kali kedua MU dengan Newcastle United (NU) dalam masa dua minggu di mana perlawanan pertama dalam saingan Capital One Cup dimenangi oleh MU dengan keputusan 2-1.

 

MU pastinya masih lagi mengingati kekalahan 0-3 di tangan NU pada musim lepas dan berkeinginan untuk tidak mengulangi lagi keputusan tersebut. Dalam perlawanan tersebut, barisan tengah MU yang dikemudikan oleh Carrick dan Giggs telah mudah diratah oleh kehebatan Tiote dan Cabaye sementara Jones yang beraksi di barisan pertahanan mengalami kesukaran dalam mengekang kelincahan Ba.

Bagi perlawanan yang akan berlangsung di Sport Direct Arena, MU bakal menurunkan kesebelasan terbaik dengan menampakkan kemantapan di barisan hadapan. Namun, bahagian pertahanan dilihat agak sedikit tempang memandangkan ketika ini MU hanya mempunyai Ferdinand dan Evans sahaja selaku pemain senior untuk mengisi slot pertahanan tengah kerana kecederaan yang menimpa Vidic, Jones dan Smalling.

Apa yang menarik adalah kembalinya Rooney dalam membuat penampilan dalam BPL selepas disisihkan hampir enam minggu akibat kecederaan. Kehadirannya tampak mampu untuk memberikan kelebihan kepada MU dan kudrat Rooney pastinya ditagih bagi menggerakkan serangan bersama RVP. Kagawa yang direhatkan pada perlawanan UCL pertengahan minggu ini akan disenaraikan semula dalam kesebelasan utama MU.

Selain pertahanan, SAF juga perlu memilih pasangan pemain bagi barisan tengah. Ini adalah kerana MU menampakkan kelemahan ketara ketika tewas kepada Spurs hujung minggu lepas. Barisan tengah MU kebiasaannya memerlukan pengalaman dan keupayaan membuka permainan, tetapi pada ketika ini, kelincahan dan tahap kecergasan pemain juga perlu diambilkira.

Nani dilihat gagal mengambil peluang beraksi sepanjang ketiadaan Valencia dan Young apabila kurang menyinar. Walaupun memiliki kemahiran yang baik, tetapi prestasinya yang tenggelam amat merugikan MU. Cleverly yang beraksi dengan baik dalam dua perlawanan sebelum ini, berkemungkinan diberikan kepercayaan oleh SAF untuk beraksi dalam kesebelasan utama.

Jadi, para peminat MU mungkin dapat menyaksikan bagaimana Rooney, RVP, Kagawa dan Cleverly beraksi bersama dalam kesebelasan utama. Keempat-empat mereka masing-masing mempunyai kemampuan yang dapat mengucar-kacirkan pertahanan NU yang tampak lemah kerana ketiadaan Coloccini dan Taylor.

90 minit di Sport Direct Arena bakal menyajikan aksi yang menarik. MU dan NU masing-masing memperoleh kemenangan pada pertengahan minggu. Namun, MU yang sebenarnya perlu menunjukkan prestasi yang baik bagi mengembalikan semula semangat dan keyakinan untuk menjuarai BPL musim ini terutamanya selepas mengalami episod duka di OT baru-baru ini.


Kesebelasan utama:



Jangkaan keputusan:

Apa yang pasti adalah MU akan cuba untuk mengelakkan dari dibolosi terlebih dahulu. NU akan cuba menguasai bahagian tengah dan melancarkan serangan balas pantas dan ini perlu dikekang oleh MU jika ingin membawa pulang tiga mata penuh. Walaupun, MU masih lagi menunjukkan prestasi yo-yo manakala persembahan NU pula amat memberangsangkan, namun aku menjangkakan MU mampu untuk menumbangkan NU dengan keputusan 3-1. Rooney dan RVP mencatatkan nama selaku penjaring gol MU.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan