Selasa, 9 Oktober 2012

Mix Reactions on MU Latest Win


Berdasarkan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Newcastle United (NU) pada hujung minggu lepas, pelbagai ulasan dan komen sama ada yang positif atau negatif telah diberikan tentang corak permainan MU. Jadi, aku pun tidak mahu terlepas peluang untuk mengutarakan sedikit pendapat aku.

Sepertimana yang diketahui, SAF lebih cenderung untuk menggunakan formasi 4-4-2 yang menyerang di mana ianya lebih fokuskan kepada mengeksploitasikan pemain sayap (winger). Oleh sebab itu, sejak ketiadaan Keane atau Hargreaves, SAF tidak berminat untuk mencari pemain tengah defensif. SAF yang dahulunya seorang penyerang lebih menumpukan kepada bahagian serangan.

Jika kita lihat taktikal SAF, apabila bola dihantar kepada pemain sayap, MU akan cuba mengerahkan seramai yang boleh ke dalam kotak penalti lawan bagi menerima hantaran lintang. Inilah yang cukup diinginkan oleh SAF dengan MU secara terus menerus menekan pasukan lawan dan hanya mengharapkan barisan pertahanan sahaja melakukan tugas defensif.

Namun begitu, oleh kerana tidak dapat menyenaraikan Valencia, Young dan Nani bagi posisi sayap dalam kesebelasan utama, SAF melakukan rombakan dari segi formasi dan pemilihan pemain. Setelah melihat MU tewas di tangan Spurs baru-baru ini akibat kegagalan menyaingi barisan tengah Spurs serta kerisauan terhadap kemantapan Cabaye dan Tiote sepertimana yang ditunjukkan pada musim lepas, SAF menggunakan pendekatan berbeza iaitu 4-4-2 berlian. Ini bertujuan untuk memastikan MU menguasai bahagian tengah dengan cara yang kompak.

Carrick sememangnya akan beraksi dengan baik apabila diletakkan sedikit ke belakang berbanding pemain tengah lain. Dengan ini, Carrick bukan sahaja memperoleh masa secukupnya untuk mengawal dan membuka permainan MU menerusi hantaran-hantaran jauh bahkan dapat menjalankan tugas melindungi barisan pertahanan MU. Carrick tidak begitu agresif ketika bertahan iaitu membuat bentesen atau terjahan, tetapi kelebihan Carrick adalah kebolehannya membaca pergerakan lawan dan seterusnya membuat pintasan.

Kagawa mungkin memerlukan sedikit masa beraksi di posisi baru

Oleh kerana dalam percubaan menggunakan formasi berlian, Kagawa pula diletakkan selaku 'deep playmaker' tetapi dilihat tidak memberikan impak. Namun, dengan berada di posisi tersebut membolehkan Kagawa membantu Rafael dalam tugas defensif. Mungkin Kagawa memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan posisi dan fungsi sedemikian. Apa yang positif adalah Kagawa masih mampu menggerakkan serangan MU melalui pertukaran hantaran-hantaran pantas dengan Rooney dan RVP serta keupayaan menggelecek lawan sambil melarikan bola.

Tugas Welbeck ketika bertemu NU adalah sama seperti Chicharito beraksi menentang Cluj. Welbeck lebih banyak melakukan larian bagi menarik dua pertahanan tengah NU sekaligus memberikan ruang kepada Rooney dan RVP untuk bergerak. Dengan fizikal yang tegap, Welbeck mampu beraksi dengan baik terutamanya ketika menahan dan melindungi bola selepas menerima umpanan bagi menanti bantuan dari rakan-rakan.

Persembahan Rooney dalam dua perlawanan terkini iaitu Cluj dan NU telah membuka mata pelbagai pihak. Setakat kembali beraksinya Rooney selepas pulih dari kecederaan, Rooney telah memperoleh lima 'assist' dalam tiga perlawanan. Ini menunjukkan betapa Rooney memberikan impak apabila beraksi sebagai 'free role'. Di samping dapat menjana serangan MU, Rooney yang tampak sedikit kurus berbanding pada awal musim, juga dapat membantu barisan tengah.

Kemampuannya terserlah selepas pulih dari kecederaan

Jadi, boleh dikatakan bahawa Rooney akan kerap memberikan impak positif buat MU apabila beraksi di belakang seorang atau dua pemain penyerang. Walaubagaimanapun, Rooney tidak boleh diharapkan sangat untuk menyumbangkan gol apabila beraksi di posis tersebut. Mungkin jika Valencia atau Young kembali beraksi, barulah Rooney kembali diletakkan sebagai penyerang.

Selepas aksi bertenaga ketika bertemu NU, Cleverly pastinya bakal meletakkan dirinya sebagai pilihan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama. Memiliki stamina yang tinggi serta kerajinan, Cleverly memberikan MU satu dimensi baru yang menarik bagi bahagian tengah. Cleverly gemar bermain secara mudah, tanpa perlu menggelecek pemain lawan iaitu menerima hantaran rakan, menampan lalu membuat hantaran pula seterusnya berlari mencari ruang untuk menerima hantaran. Corak permainan mudah ini membolehkan Cleverly mempercepatkan pergerakan MU.

Kembalinya Fletcher dapat menguatkan lagi bahagian tengah MU

Jika Fletcher dapat diturunkan dalam kesebelasan utama bagi perlawanan BPL, SAF berkemungkinan besar akan menggunakan formasi 4-2-3-1 di mana Carrick dan Fletcher akan berpasangan di bahagian tengah. Tiga posisi tengah menyerang akan diisikan oleh Cleverly, Valencia, Young, Rooney, Kagawa atau Anderson. RVP, Welbeck dan Chicharito akan bersaing bagi merebut slot tunggal penyerang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan