Selasa, 23 Oktober 2012

Komentar: MU vs Stoke City


Sepertimana yang aku katakan dalam entry sebelum ini, aku tidak berkesempatan untuk menyaksikan perlawanan MU menentang Stoke City (SC) secara langsung. Walaubagaimanapun, aku cuba memberikan sedikit ulasan dan mungkin lebih kepada komen tentang MU berdasarkan laporan, berita dan ulasan yang telah aku baca dari beberapa halaman sesawang dan sedutan daripada ESPN.

Bagi pertemuan dengan SC, MU menurunkan kesebelasan utama dengan formasi tipikal iaitu 4-4-2. Mungkin kerana beraksi di OT, SAF memilih DDG untuk mengawasi gawang gol MU sementara barisan pertahanan MU diisikan oleh pemain sepatutnya iaitu Rafael, Ferdinand, Evans dan Evra. Barisan tengah pula menampilkan gandingan Scholes dan Carrick yang diapit oleh Valencia dan Welbeck. Bahagian serangan dikepalai oleh RVP yang dibantu Rooney.

Seharusnya MU mampu untuk menewaskan SC di OT walaupun pastinya berhadapan dengan saingan yang sengit daripada SC. Prestasi SC apabila beraksi dengan kelab atas pada musim ini amat memberangsangkan. Jadi, keputusan kemenangan 4-2 seolah-olah memberikan gambaran yang agak tepat bagi MU dan SC, yakni MU memperoleh kemenangan manakala SC tidak mudah mengalah dan mampu untuk mencabar MU.

Yang menjadi perhatian utama adalah keengganan Ferdinand untuk menyarung t-shirt 'Kick It Out' iaitu kempen yang menentang sikap rasis dalam bola sepak walaupun pada hari sebelumnya, SAF mengatakan bahawa semua pemain MU akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada kempen tersebut. SAF menyatakan kekecewaannya terhadapa tindakan Ferdinand dan timbul berita mengatakan Ferdinand bakal dikenakan hukuman dan denda. Selain itu, Ferdinand juga akan ditawarkan kontrak baru yang gajinya sedikit akibat daripada tindakannya itu.

Tindakan Ferdinand itu seolah-olah memalukan SAF. Ferdinand sepatutnya tidak berbuat sedemikian memandangkan kontrak beliau bersama MU akan tamat pada musim panas ini di samping usianya yang semakin meningkat. Tindakannya itu bakal mengundang padah dan sepertimana yang diketahui umum, mana-mana pemain yang berselisih pendapat dan cuba melakukan konfrontasi dengan SAF, nasib mereka bersama MU tidak akan panjang, seperti yang telah dilalui oleh Stam, Keane, Beckham dan Nistelrooy.

Selain itu, Scholes dirasakan tidak begitu sesuai diturunkan dalam kesebelasan utama MU di kala ini kerana MU kini dilihat cuba bermain secara pantas. Ini memerlukan pemain yang memiliki kecergasan dan stamina yang tinggi. Seharusnya Anderson atau Cleverly diturunkan sebagai gandingan Carrick. Kurangnya kemantapan di bahagian tengah MU membolehkan SC mendapatkan gol solo menarik daripada Kightly yang mudah meloloskan diri daripada kawalan Carrick dan Ferdinand.

Apa yang positif adalah keserasian yang ditunjukkan oleh Rooney dan RVP dan kematangan persembahan Welbeck. Ketiga-tiga mereka membentuk segitiga yang menarik sekaligus membolehkan mereka bertukar-tukar posisi dan peranan bagi menggerakkan serangan MU. Nampaknya SAF sudah menemui formula bagaimana untuk menyesuaikan corak permainan Rooney dan RVP. 

Perlawanan UCL pada pertengahan minggu ini membolehkan SAF merehatkan beberapa pemain utama sebagai persediaan bagi menentang Chelsea pada hujung minggu ini. Yang pasti, kemenangan ke atas SC merupakan tiga mata yang cukup berharga terutamanya selepas pemain kembali beraksi dari pentas antarabangsa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan