Selasa, 12 Mac 2013

Review: MU vs Chelsea (FA Cup)


Keputusan perlawanan:

MANCHESTER UNITED 2
Chicharito 5'
Rooney 11'

CHELSEA 2
Hazard 59'
Ramires 68'


Pemain terbaik perlawanan:


DAVID DE GEA


Kesebelasan utama MU:


Pertukaran pemain:

Valencia >> Nani
RVP >> Chicharito
Welbeck >> Kagawa


Ulasan perlawanan:

MU seolah-olah 'mencari penyakit' apabila melepaskan kelebihan dua gol dengan memberikan ruang kepada Chelsea menyamakan kedudukan untuk menamatkan perlawanan suku akhir Piala FA England dengan kedua-dua pasukan terikat 2-2 sekaligus satu perlawanan ulangan akan diadakan bagi menentukan satu pasukan layak ke peringkat separuh akhir.

SAF memberikan alasan bahawa beberapa pemain utama seperti Rafael dan Carrick berada dalam keadaan keletihan selepas memberikan sepenuhnya, perhatian dan tenaga, ketika beraksi menentang Real Madrid. Walaubagaimanapun, aku merasakan dua pemain yang tidak diturunkan ketika bertemu Real Madrid iaitu Evans dan Cleverley menjadi salah satu punca kegagalan MU untuk menewaskan Chelsea.

Evans seharusnya boleh melakukan lebih baik dalam menghalang Ramires yang menjaringkan gol penyamaan. Evans tidak sepatutnya tergesa-gesa untuk membuat halangan yang membuka ruang kepada Ramires untuk menggelecek sebelum melepaskan rembatan kaki kiri yang menewaskan DDG. 

Cleverley pula kelihatan tidak bermaya dan akibatnya mudah kehilangan penguasaan bola walaupun pada ketika itu MU sedang berkira-kira untuk melancarkan serangan. Oleh kerana bola kerap dirampas dari kaki Cleverley, Chelsea berjaya beberapa kali mengucar-kacirkan pertahanan MU menerusi serangan balas. Mujur, Ferdinand beraksi dengan begitu mantap dan DDG mempamerkan kecekapannya dalam menidakkan Chelsea mendapatkan gol.

MU memperoleh dua gol dalam masa 11 minit pertama perlawanan apabila Chicharito meledakkan gol pertama mu dengan membuat tandukan lambung menarik selepas menyambut hantaran jauh Carrick. Gol kedua MU hadir setelah sepakan percuma Rooney berjaya mengelirukan pertahanan Chelsea dan Cech sebelum bola menerjah jaring gol Chelsea.

Separuh masa pertama menyaksikan MU menguasai permainan dengan turut mencipta beberapa lagi peluang tetapi tiada sebarang penambahan gol. MU ternyata tampak begitu yakin untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala FA.

Walaubagaimanapun, episod berbeza telah berlaku dalam separuh masa kedua apabila Chelsea kembali memberikan cabaran kepada MU. MU seperti tertekan dengan kebangkitan Chelsea dan mula menunjukkan aksi yang begitu longgar.

Kesungguhan Chelsea akhirnya membuahkan hasil apabila Hazard yang dimasukkan selaku pemain gantian menjaringkan gol pertama Chelsea menerusi rembatan luar kotak penalti. Gol tersebut menaikkan lagi semangat pemain Chelsea untuk menggandakan asakan. Chelsea mendapatkan gol penyamaan menerusi Ramires yang bijak membuat larian solo.

Chelsea hampir-hampir mendapatkan gol kemenangan tetapi kecekapan DDG menepis rembatan Mata menyelamatkan MU daripada dimalukan di halaman sendiri. Kini, MU perlu melupakan dua episod sedih yang dilalui dan perlu menunjukkan permainan yang lebih baik dalam perlawanan seterusnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan