Untuk entry ini, aku mula dengan cerita tentang
Arsenal. Sepertimana yang kita ketahui, Arsenal berada dalam keadaan yang cukup
tertekan pada ketika ini. Keadaan Arsenal bertambah buruk selepas kekalahan
terbaru kepada Bayern Munich. Sama ada kita perasan atau tidak, Arsenal
nampaknya mempunyai badi dengan pasukan yang memiliki nama bermula dengan huruf
'B' sejak kebelakangan ini.
Arsenal tersingkir daripada saingan Capital One Cup
selepas tumpas kepada Bradford City. Kemudiannya seminggu lalu, Blackburn
Rovers menunjukkan pintu keluar kepada Arsenal dari saingan Piala FA England.
Kini, yang terbaru, Arsenal tewas dalam perlawanan pusingan pertama peringkat
kalah mati UCL kepada Bayern Munich. Mujur, pada musim ini, BPL tidak mempunyai
kelab berhuruf 'B'. Jika ada, pastinya menjadi mimpi ngeri kepada Arsenal.
Kelab jiran Arsenal, Tottenham Hotspur pula dilihat
terlalu bergantung kepada Bale untuk mendapatkan keputusan positif dari sesuatu
perlawanan. Persembahan memberangsangkan yang ditunjukkan oleh Bale menyebabkan
dirinya dibuat perbandingan dengan Ronaldo memandangkan kedua-dua pemain
tersebut beraksi di sebelah kiri dan menjadi pemain utama untuk mengambil
sepakan percuma.
Pada aku, Bale perlu berhijrah ke kelab yang lebih
besar bagi menonjolkan lagi keupayaannya. Dengan berada di Tottenham Hotspur
sahaja, ianya tidak menjadi platform terbaik buat Bale untuk menjadikan dirinya
selaku antara pemain terbaik dunia. Ini adalah kerana, salah satu kriteria
penting sebagai pemain terbaik dunia adalah keupayaan kelabnya merangkul
kejuaraan, terutamanya yang besar seperti liga mahupun UCL. Jika setakat
memenangi Piala FA, itu belum cukup menempatkan diri sebagai antara pemain
terbaik dunia.
Sepertimana Arsenal, Tottenham Hotspur memerlukan
aksi UCL musim hadapan jika ingin mengekalkan Bale. Walaubagaimanapun, tugas
tersebut nampak sukar untuk dilaksanakan kerana Tottenham Hotspur mengalami
masalah ketiadaan penyerang berwibawa selepas kecederaan yang menimpa Defoe. Kegagalan
untuk mendapatkan penyerang baru pada bulan Januari lepas mungkin akan menjadi
penyebab utama jika Tottenham Hotspur tidak mendapatkan slot ke UCL musim
hadapan.
Aku agak hairan mengapa Chelsea tidak mahu
menyambung kontrak Lampard untuk sekurang-kurangnya semusim lagi. Lampard
dilihat masih mampu untuk memberikan sumbangan bermakna kepada Chelsea dan
ianya dibuktikan dengan jaringan gol dalam beberapa perlawanan kebelakangan
ini. Rasanya Benitez tidak mempunyai kuasa untuk memberikan kata putus terhadap
kemelut Lampard walaupun pada hakikatnya Benitez tampak percaya dengan
kebolehan dan kemampuan Lampard menerajui Chelsea.
Jika kontrak baru tidak ditawarkan, rasanya Lampard
akan membawa diri berhijrah keluar dari England. Dengan pengalaman dan status
yang dimilikinya, mungkin MU atau Man City sahaja yang sesuai buat Lampard jika
beliau ingin kekal di England. Aksi di Amerika Syarikat ataupun menyertai
Galatasaray bagi beraksi bersama dengan Drogba dilihat menjadi pilihan utama
Lampard.
Liverpool dijangkakan mampu untuk menjadi pesaing
kejuaraan BPL musim hadapan berdasarkan skuad yang kini telahpun dibarisi oleh
beberapa pemain baru yang bagus. Pembelian Sturridge dilihat antara langkah
bijak kerana ianya dapat meringankan beban Suarez yang seringkali menjadi
individu tunggal dalam meledakkan gol buat Liverpool.
Selain itu, Coutinho juga dapat memberikan
kreativiti kepada bahagian tengah Liverpool yang sepatutnya dihasilkan oleh
Allen. Kehadiran semula Lucas turut memperkuatkan lagi jentera tengah Liverpool
serta memberikan lesen kepada Gerrard untuk bergerak lebih ke hadapan. Tetapi,
Liverpool juga memerlukan pemain pertahanan yang mantap dan konsisten
sepertimana Arsenal.
Rodgers dilihat mampu memulihkan semula reputasi
Liverpool tetapi beliau memerlukan masa lagi untuk membentuk pasukan mengikut
acuannya. Walaupun saingan BPL hanya tidak beberapa bulan sahaja lagi untuk
tamat, kebanyakan pemain Liverpool tidak beraksi sepertimana yang dikehendaki
oleh Rodgers yang sememangnya menggemari 'possession football' yakni memerlukan
pemainnya mempunyai majoriti penguasaan bola menerusi hantaran-hantaran bawah
yang kemas. Ketika ini, Liverpool masih lagi suka melakukan hantaran-hantaran
jauh sepertimana ketika di bawah kendalian Houlier walaupun tidak sekerap
dahulu.
Ketika ini, MU berpeluang cerah untuk merampas
kembali kejuaraan BPL dari Man City manakala tempat kedua dan ketiga bakal
menjadi milik antara Man City dan Chelsea. Namun begitu, perebutan satu slot
terakhir ke saingan UCL musim hadapan masih lagi melibatkan empat atau lima
pasukan. Yang pastinya, kelebihan di atas kertas tidak semestinya sama dengan
90 minit aksi di atas padang yang kadang-kala memberikan keputusan yang amat
mengejutkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan