Piala FA - Malam ini Kedah berentap dengan NS Betaria FC di Darulaman
Musuh Kedah yang akan menjadi penghalang bagi mereka mencapai kemenangan
mudah di Stadium Darulaman malam ini ketika bertemu NS Betaria FC pada
pertandingan Piala FA adalah diri mereka sendiri bukan lawan mereka.
Kedah sepatutnya tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk
mengenepikan cabaran NS Betaria FC tetapi sifat mengambil mudah yang
kemungkinan besar akan menguasai barisan pemain Pasukan Hijau Kuning
setelah membenam Sabah di Kota Kinabalu Isnin lalu takut akan menjadi
penghalang pada hasrat mereka meraih kemenangan.
Di atas kertas Kedah memang lebih jauh mantap dan konsisten prestasinya
pada lima perlawanan Liga Perdana musim ini tetapi di atas padang apa
sahaja boleh berlaku kerana terlalu yakin kerap kali pasukan pilihan
menjadi mangsa karenah diri sendiri.
Selepas tamat latihan di Stadium Darulaman petang semalam ketua
jurulatih Mario Tot tidak bercakap panjang lebar mengenai lawan mereka
esok (malam ini) , beliau hanya memberitahu anak buahnya perlu berada
pada tahap terbaik dari segi mental mereka kerana keletihan pada keadaan
mental bererti letihlah seluruh anggota mereka tetapi cergas mental
untuk menghadapi lawan mereka bererti cergaslah keseluruhan anggota
badan mereka.
Kesemua pemain perlu merenungi kata-kata daripada Tot kerana apa yang di
sampaikan adalah benar dan juga menjadi faktor utama yang akan membantu
mereka melepasi pusingan pertama Piala FA musim ini.
Baddrol yang diketepikan oleh Tot pada perlawanan kerana kecederaan juga
nampaknya akan berada dalam kesebelasan utama memulakan perlawanan esok
(malam ini) dan ini adalah berita baik untuk pasukan Kedah dan ribuan
peminat yang pasti akan memenuhi setiap ruang Stadium Darulaman bagi
menyaksikan kehebatan pasukan kesayangan mereka.
sumber: http://www.kedahlanie.info/2013/01/piala-fa-malam-ini-kedah-berentap.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan