SEJARAH yang dilakarkan 21 tahun lalu akan menjadi cabaran utama pasukan
Kedah yang beraksi pada Liga Perdana musim ini. Kejayaan pasukan Kedah
pada tahun 1992 menjuarai Liga Perdana musim itu dengan rekod cemerlang
tidak kalah akan menjadi cabaran utama pasukan musim 2013 bagi
mengulanginya ataupun menandingi kegemilangan pasukan yang dibimbing
oleh arwah Datuk Paduka Ahmad Basri Haji Akil.
Tahun 1991 pasukan Kedah telah disingkirkan ke Liga Perdana dan pada
tahun 1992 berjaya menjuarai pertandingan itu dengan tidak mengalami
sebarang kekalahan dan mereka juga berjaya melayakkan diri ke perlawanan
akhir Piala Malaysia tetapi kecundang kepada Pahang dengan jaringan
tunggal oleh lawan mereka.
Pada tahun 1992 pasukan yang dilatih oleh Robert Alberts dan dibantu
oleh Mohd Azraai Khor Abdullah, manakala pasukan musim 2013 ini dilatih
oleh Mario Tot dibantu oleh Antonio Sisic yang berasal dari Croatia,
jurulatih penjaga gawang Talib Saidi berasal dari Perak, jurulatih
fizikal Mat Zali Lazim serta seorang pengurus yang sudah sinonim dengan
permainan bola sepak dan senario bola sepak tempatan, Datuk Jeffery Low
Hang Chow iaitu Naib Presiden KFA turut dibantu oleh Amirul Nizam
Mahadzir.
Kedua-dua pasukan ini iaitu Kedah musim 1991 dan 2012 disingkirkan ke
Liga Perdana bukan kerana kekurangan kemampuan tetapi masalah dalaman
dan kedua-dua pasukan ini memiliki barisan pemain yang mantap mampu
mengukirkan kejayaan tetapi apa yang telah berlaku kini sudah menjadi
sejarah.
Pertama kali sejak beberapa musim lalu jawatankuasa KFA membuat beberapa
keputusan bijak yang yang pasti akan manfaatkan pasukan serta
menceriakan ribuan pengikut Pasukan Hijau Kuning seluruh Malaysia dan
juga memuaskan hati mereka sendiri dengan kejayaan pasukan musim 2013
mencapai matlamatnya melayakkan diri beraksi pada Liga Super musim depan
ataupun melebihinya.
Kejayaan mendapatkan khidmat beberapa muka baru yang tidak ternama
tetapi menepati keperluan ketara pasukan Kedah memantapkan lagi prestasi
Pasukan Hijau Kuning dan kembalinya Nelson Sam Martin yang bukan nama
asing kepada ribuan peminat setia pasukan Kedah serta penyerang Chayene
Santos dari Brazil yang sudah beraksi di Thailand sejak beberapa tahun
lalu pasti akan menjadikan impian KFA menjadi kenyataan pada akhir musim
ini.
Kini sudah pasti ribuan peminat setia Pasukan Hijau Kuning tidak sabar
untuk menyaksikan perlawanan Liga Perdana musim ini yang akan membuka
tirai pada 8 Januari depan bertemu UiTM FC di Stadium Hang Tuah, Melaka
dan beraksi buat pertama kali di Stadium Darulaman pada 11 Januari iaitu
hari Jumaat menentang KL Pos Malaysia .
Beberapa perlawanan ujian yang dilalui oleh pasukan Kedah berjaya
membuktikan kemampuan dan kewibawaan sebenar mereka dengan kejayaan
mereka mengikat Kelantan juara Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia
musim lalu tanpa jaringan di Stadium Darulaman serta keputusan seri 0-0
ketika bertemu Selangor juga di Alor Star.
Ketika ini dua tonggak import Kedah, Nelson dan juga Santos belum
mencapai tahap kecergasan yang diperlukan bagi mengharungi 90 minit
perlawanan bola sepak tetapi ketika Liga Perdana membuka tirainya pada 7
Januari depan, InsyaAllah mereka pasti akan lebih bersedia dan ribuan
peminat setia Pasukan Hijau kuning boleh fikirkan sendiri apa yang mampu
dilakukan oleh mereka.
Kini apa yang tinggal ialah bagi pemain-pemain Kedah untuk membuktikan
kewibawaan mereka di atas padang bagi membalas kepercayaan KFA yang
telah menyediakan perbelanjaan terbesar dalam sejarah mereka iaitu RM8
juta mengharungu musim 2013.
Tidak ada sesuatu yang lebih baik dan berbaloi untuk membalas segala
kepercayaan KFA daripada memastikan Kedah beraksi pada Liga Super musim
depan dan kalau ditakdirkan dengan membawa pulang beberapa piala
daripada tiga pertandingan yang disediakan oleh Persatuan Bolasepak
Malaysia (FAM).
sumber: http://www.kedahlanie.info/2013/01/bolasepak-kedah-sejarah-21-tahun-yang.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan