Keputusan perlawanan:
MANCHESTER UNITED 1
Evra 16'
SWANSEA CITY 1
Michu 29'
Pemain terbaik perlawanan:
WAYNE ROUTLEDGE
Kesebelasan utama MU:
Pemain gantian:
Chicharito >> Valencia
Giggs >> Rooney
Scholes >> Cleverly
Ulasan perlawanan:
MU akhirnya memperoleh keputusan seri pertama untuk musim ini selepas terikat 1-1 dengan Swansea City (SC) dalam perlawanan yang berlangsung malam tadi. MU seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila gagal mencatatkan kemenangan walaupun menguasai sebahagian besar permainan terutamanya pada separuh masa kedua.
Sepertimana yang dijangkakan, MU berhadapan dengan tugas apabila bertandang ke SC memandangkan SC sentiasa menunjukkan corak permainan yang baik. Tatkala menghadapi jadual perlawanan yang padat sempena perayaan Krismas dan Tahun Baru, SAF melakukan sedikit perubahan pemain iaitu di bahagian pertahanan apabila mengetepikan Smalling dan Ferdinand dari kesebelasan utama.
Ini memberikan laluan kepada Vidic beraksi buat pertama kali dari kesebelasan utama manakala Evans kembali selepas pulih dari kecederaan. Jones mengekalkan tempatnya di pertahanan kanan memandangkan Rafael masih lagi mengalami sedikit kecederaan. Evra seperti biasa, mengisikan slot di pertahanan kiri dengan DDG terus diberikan kepercayaan mengawasi gawang gol MU. Posisi selebihnya turut tiada sebarang perubahan.
Aku merasakan keputusan untuk memulakan Vidic dari kesebelasan utama agak terlalu awal kerana Vidic tampak masih belum mempunyai 100% 'match fitness'. Ini sekaligus menyukarkan Vidic untuk mengekang pergerakan Michu. Evans juga mungkin sepatutnya diketepikan untuk perlawanan menentang SC kerana baru sahaja pulih dari kecederaan.
MU memulakan perlawanan dengan corak permainan pantas pada 15 minit pertama. Hasilnya MU berjaya menjaringkan gol pendahuluan selepas Evra menanduk masuk bola sepakan sudut yang diambil oleh RVP. Namun, MU yang sepatutnya berusaha untuk menambahkan jaringan seolah-olah tampak selesa dan mula memperlahankan permainan dan peluang ini digunakan oleh SC untuk kembali memberikan cabaran.
Usaha gigih SC berhasil apabila Routledge yang kerap mengucar-kacirkan barisan pertahanan MU bijak membuat lorongan kepada De Guzman yang kemudiannya merembat deras ke arah pintu gol MU. Bola rembatan tersebut ditepis keluar oleh DDG namun singgah di kaki Michu yang mudah menolak masuk bola ke dalam gawang gol yang ternganga.
DDG sepatutnya boleh melakukan dengan lebih baik ketika berhadapan dengan bola rembatan tersebut. Jika DDG merasakan bola tersebut tidak dapat untuk ditangkap dengan kemas, DDG seharusnya menepis bola tersebut ke arah tepi yang memungkinkan SC memperoleh sepakan sudut dan bukannya menolak bola ke kawasan tengah semula. Barisan pertahanan MU juga kelihatan lambat untuk bergerak dan menghidu larian bijak Michu.
Separuh masa kedua menyaksikan MU benar-benar menguasai permainan. Banyak percubaan yang cuba dicipta oleh MU. Rasanya ramai yang kecewa dengan persembahan Rooney yang kerap melakukan kesilapan dalam membuat 'final pass' kepada RVP mahupun Chicharito. Selain itu, kegopohan dalam kotak penalti lawan juga mengakibatkan MU tidak mampu untuk menambahkan jaringan.
Keputusan seri 1-1 malam tadi bukanlah satu berita buruk kerana sekurang-kurangnya MU berjaya membawa pulang satu mata. Namun, jika MU mempergunakan sebaik mungkin penguasaan bola yang dimiliki serta menyempurnakan beberapa peluang terhidang, pastinya MU mampu untuk mendapatkan tiga mata penuh seterusnya mengekalkan jurang perbezaan enam mata dengan Man City. Kini, kedua-dua pasukan dari kota Manchester itu hanya dipisahkan dengan empat mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan