Isnin, 10 Disember 2012

Review: Malaysia vs Thailand (AFFSC)


Keputusan perlawanan:

MALAYSIA 1
Norshahrul 48'

THAILAND 1
Teerasil 78'


Kesebelasan utama Malaysia:



Pemain gantian:

Zubir >> Bunyamin
Kunanlan >> Baddrol
Safee >> Amar


Ulasan perlawanan:

Malaysia terlepas peluang untuk mencari kelebihan selesa selepas hanya mampu seri 1-1 dengan Thailand dalam perlawanan separuh akhir pertama AFFSC yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil dengan disaksikan oleh hampir 50 penyokong Harimau Malaya.

Keadaan padang yang agak teruk akibat hujan menyebabkan permainan Malaysia sedikit terganggu. Ini boleh dilihat apabila larian dan gelecekan Norshahrul kerap tersangkut dan mudah dikekang oleh pertahanan Thailand. Malaysia sememangnya tidak dapat bermain dengan baik kerana bola hantaran bawah kebanyakannya tidak sampai kepada pemain.

Oleh kerana kecederaan yang menimpa Shakir dan Wan Zack, Rajagobal melakukan sedikit rombakan terhadap kesebelasan utama. Norshahrul diturunkan secara keseorangan di bahagian atas tanpa kelibat Safee. Safiq yang kebiasaannya beraksi di bahagian tengah ditolak ke sedikit ke hadapan bagi menjadi 'back-up' kepada Norshahrul.

Bahagian tengah menyaksikan gandingan Amar dan Gary yang diapit oleh Baddrol dan Azamudin. Gary boleh dikatakan antara pemain terbaik Malaysia kerana bukan sahaja berani mencabar pemain Thailand dalam situasi bola tinggi, malah mampu untuk membuka permainan Malaysia dengan hantaran-hantaran yang bagus.

Persembahan Amar tidak begitu baik kerana lebih banyak berlegar di kawasan tengah padang dan kerap kehilangan penguasaan bola. Selain itu, Amar dilihat tidak begitu yakin untuk membuat bentesan mahupun terjahan bagi menghalang pergerakan pemain Thailand berbanding Gary. Safiq pula agak tenggelam di posisi baru kerana gagal membuat hantaran atau lorongan yang mampu untuk dipergunakan dengan sebaik mungkin oleh Norshahrul.

Malaysia sekali lagi perlu berterima kasih kepada Mahali yang menunjukkan persembahan yang cukup bertenaga. Pergerakan Mahali di sebelah kanan banyak membantu Malaysia melancarkan serangan walaupun tidak mempamerkan persefahaman yang baik dengan Azamudin.

Bahagian kiri Malaysia tampak tumpul walaupun Baddrol yang agak cemerlang ketika Sukan Sea Lepas beraksi menggantikan Wan Zack. Bunyamin yang dipilih berbanding Zubir turut gagal membantu Baddrol untuk menggerakkan serangan Malaysia kerana lebih menumpukan kepada tugas pertahanan sahaja.

Bahagian pertahanan Malaysia termasuk penjaga gol sememangnya beraksi dengan baik. Banyak serangan Thailand yang berjaya dihalang. Farizal mencuri tumpuan apabila berjaya menepis beberapa percubaan merbahaya Thailand menerusi layangan badan yang menarik.

Kemasukan Safee tidak banyak mengubah corak permainan Malaysia. Zubir pula tidak dapat memberikan sumbangan yang bermakna kerana bermain buat seketika sahaja. Sepertimana Baddrol, Kunanlan juga tidak membantu Malaysia dari segi serangan di sebelah kiri.

Malaysia kini berhadapan tugas berat selepas Thailand berjaya membawa pulang satu gol di tempat lawan. Bahagian tengah Malaysia perlu lebih kreatif dalam menjana serangan jika ingin melihat Malaysia melangkah ke perlawanan akhir. Secara keseluruhannya, Malaysia bermain dengan baik ketika defensif manakala daya kreativiti yang lemah serta kurangnya hantaran akhir menjadikan serangan Malaysia agak tumpul.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan