Selasa, 27 November 2012

Unofficial Review: Malaysia vs Singapura (AFF Suzuki Cup)


Al-kisah harimau sudah kehilangan taringnya. Bukan sahaja tidak mampu untuk membaham, malah nak menggigit pun mungkin tidak boleh. Aksi Malaysia yang cukup longlai menyebabkan mereka tersungkur 0-3 di tangan Singapura dalam aksi pembukaan Piala AFF Suzuki di hadapan puluhan ribuan penyokong setia Harimau Malaya.

Setelah memperoleh dua keputusan yang agak mendukacitakan bagi perlawanan persahabatan, ramai peminat Malaysia mula mempersoalkan kemampuan skuad negara untuk mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki yang dimenangi pada tahun lepas. Walaubagaimanapun, keputusan dari perlawanan persahabatan yang tidak memberangsangkan langsung tidak menafikan hasrat dan keinginan rakyat Malaysia untuk memberikan sokongan.

Singapura tampak lebih bersedia untuk menghadapi kejohanan ini apabila mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan yang dirasakan mampu memberikan cabaran kepada mereka berbanding Malaysia. Hasilnya, persediaan rapi yang dilakukan memberikan kekuatan secukupnya buat Singapura untuk menumbangkan Malaysia.

Nyanyian "Singapore itu anjing" yang disorakkan oleh Ultra Malaya mungkin menaikkan semangat para pemain Singapura untuk menumpaskan Malaysia seterusnya memalukan penyokong Malaysia yang memberikan kata cacian yang cukup tidak enak didengari oleh sesiapa pun. Bagi aku, cukuplah kita memberikan sokongan dan sorakan kepada skuad negara tanpa perlu memaki pasukan lawan secara beramai-ramai.

Aku agak kecewa apabila pemain-pemain yang sudah biasa dengan Rajagobal sahaja mengisi sebahagian besar slot dalam skuad Malaysia, tanpa mengambilkira prestasi skuad negeri atau kelab yang diwakili oleh mereka. Seharusnya, skuad Malaysia dibarisi oleh pemain-pemain dari Kelantan dan ATM memandangkan kedua-dua pasukan menunjukkan prestasi yang cukup cemerlang pada musim ini. Pemain-pemain dari Selangor, Kedah dan beberapa pasukan lagi sepatutnya hanya menjadi pelengkap pasukan.

Sebagai contoh, kita lihat Sepanyol di mana skuadnya majoriti diperkuatkan oleh pemain dari dua kelab gergasi iaitu Barcelona dan Real Madrid. Boleh dikatakan kesebelasan utama Sepanyol diisikan oleh gabungan pemain Barcelona dan Real Madrid. Pemain seperti Cazorla, Arteta, Mata tidak diberikan tempat walaupun beraksi dengan baik.

Berbanding Malaysia, gandingan tengah Malaysia adalah Safiq Rahim (SR) dan Amar Rohidan (AR). Kedua-dua mereka tidaklah begitu cemerlang dengan skuad negeri tetapi diberikan ruang untuk mengemudi bahagian tengah Malaysia. Agak menghairankan bagaimana Badri Razi diketepikan walaupun beliau selaku kapten telah berjaya membawa Kelantan menjulang tiga kejuaraan musim ini. Hairudin Omar juga agak bagus di bahagian tengah ATM tatkala telah berusia turut disisihkan dari skuad Malaysia.

Norsharul memang tidak dinafikan sebagai ayam tambatan Malaysia. Nrosharul tampak memberikan impak berbanding Safee Sali yang kelihatan tumpul di hadapan pintu gol lawan. Kyril Muhymeen (KM) turut mengecewakan. Mungkin selepas lama tidak dipanggil beraksi untuk skuad Malaysia, KM gagal bermain dengan baik.

Taktikal Malaysia yang gemar membuat hantaran jauh mudah dibaca oleh Singapura. Corak permainan sebegini memang tidak asing lagi dalam dunia bola sepak Malaysia. Selain itu, hantaran yang tidak tepat, penerimaan bola yang tidak kemas menambahkan kekecewaan para peminat Malaysia. Bahagian pertahanan Malaysia juga turut kucar-kacir apabila selalu berada 'out position'.

Pada tahun lepas, Malaysia turut tumpas dalam perlawanan pembukaan tetapi menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam perlawanan berikut seterusnya menjuarai Piala AFF Suzuki. Tetapi, adakah pada tahun ini Malaysia mampu untuk melakukan sedemikian? Sama-sama kita nantikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan