Khamis, 29 November 2012

Review: Malaysia vs Laos (AFFSC)


Keputusan perlawanan:

MALAYSIA 4
Safiq 16'
Safee 67'
Wan Zack 76'
Kyril 80'

LAOS 1
Sihavong 39'


Pemain terbaik perlawanan (pilihan MBD):

WAN ZACK HAIKAL BIN WAN NOOR


Kesebelasan utama:


Pemain gantian:

Zubir >> Azmi
Kyril >> Safee
Baddrol >> Norshahrul


Ulasan perlawanan:

Malaysia berjaya melupakan episod sedih kekalahan kepada Singapura dalam perlawanan pembukaan apabila mencatatkan kemenangan besar 4-1 ke atas Laos sekaligus membuka semula peluang Malaysia untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Walaupun keputusan 4-1 seolah-olah menampakkan bahawa Malaysia memperoleh kemenangan mudah, namun sebenarnya Malaysia terpaksa bekerja keras untuk menumbangkan Laos yang ternyata bermain dengan baik. Tiga lagi gol yang dijaringkan pada separuh masa kedua selepas Malaysia dan Laos terikat 1-1 pada separuh masa pertama memberikan keceriaan kepada puluhan ribuan peminat Harimau Malaya yang memenuhi tempat duduk di Stadium Bukit Jalil.

Sebaik sahaja sepak mula, Malaysia mula mengancam Laos dengan serangan bertali arus. Namun gandingan penyerang Malaysia, Safee dan Norshahrul gagal menyempurnakan beberapa peluang yang dicipta. Malaysia memperoleh gol sulung menerusi sepakan percuma menarik yang diambil oleh Safiq yang menerjah jaring gol Laos.

Sejurus selepas gol tersebut, Malaysia memiliki sebahagian besar penguasaan bola tetapi tidak diterjemahkan kepada gol. Kegopohan dalam membuat rembakan antara punca kegagalan Malaysia menambahkan jaringan. Selain itu, banyak hantaran akhir tidak dilakukan dengan berkesan.

Laos membuat kejutan apabila serangan balasnya berjaya menghasilkan gol. Farizal yang boleh dikatakan tidak berbuat apa-apa sepanjang perlawanan berlangsung tidak berupaya untuk menghalang Laos memperoleh gol penyamaan selepas bola terbias selepas mengenai Aidil.

Separuh masa kedua, Laos cuba untuk mengimbangi corak permainan MU dan perlawanan menjadi sedikit seimbang. Mungkin selepas mendapatkan arahan daripada Rajagobal, Wan Zack menunjukkan peningkatan ketara dalam persembahannya pada separuh masa kedua. Banyak larian dan hantaran lintang Wan Zack berjaya menyebabkan pertahanan Laos menjadi kucar-kacir.

Safee yang sebelum itu terlepas beberapa peluang berharga, akhirnya menebus kegagalannya itu dengan menjaringkan gol kedua Malaysia. Gol Safee tampak melemahkan semangat para pemain Laos dan Malaysia kembali menunjukkan persembahan yang mencengkam. 

Gol ketiga Malaysia dihasilkan selepas Norshahrul bijak menarik pertahanan Laos ke kawasan tepi padang sebelum menghantar bola kepada Kunanlan untuk membuat hantaran silang. Hantaran silang itu disambut baik oleh Wan Zack yang menanduk masuk bola melepasi jangkauan penjaga gol Laos. Kegembiraan jelas dilihat dari riak wajah Wan Zack yang bermain dengan cukup cemerlang.

Dengan kemenangan hampir pasti untuk dicapai, Rajagobal membuat pertukaran pemain dengan membawa masuk Kyril bagi menggantikan Safee yang tampak kepenatan. Keputusan tersebut memberikan pulangan kepada Malaysia apabila Kyril yang membuat larian solo melepasi kawalan pertahanan Laos sebelum mudah merembat masuk bola mengatasi penjaga gol Laos dalam situasi satu lawan satu untuk gol keempat Malaysia.

Malaysia kini perlu menewaskan Indonesia dalam perlawanan terakhir kumpulan bagi memastikan tempat ke separuh akhir kerana ketika ini Malaysia berkongsi tiga mata dengan Singapura yang tewas kepada Indonesia. Mungkin sejarah 2010 akan berulang lagi pada tahun ini.

NGGAAUUMMM!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan