Rabu, 28 November 2012

Preview: MU vs West Ham United (BPL)


MU akan melayan kunjungan West Ham United (WHU) ke OT di mana perlawanan akan berlangsung awal pagi esok. Pastinya MU bakal berhadapan tugas berat menentang WHU yang ketika ini menunjukkan prestasi yang baik di bawah kendalian Sam Allardyce.



Saingan BPL akan diteruskan dengan perlawanan pertengahan minggu ini di mana kesemua empat pasukan teratas akan beraksi awal pagi esok. MU bertemu WHU, Chelsea berlawan dengan Fulham dan Man City ditentang oleh Wigan. Dengan Man City dan Chelsea dilihat berupaya mengutip tiga mata penuh, MU seharusnya menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk mencatatkan kemenangan.

Selepas mempamerkan persembahan yang cukup memberangsangkan dari bangku simpanan dengan membantu MU menewaskan QPR hujung minggu lepas, Anderson bakal membuat penampilan dari kesebelasan utama sepertimana yang diperkatakan oleh SAF. Corak permainan Anderson yang 'direct' dan mampu untuk menerobos pemain pertahanan lawan dari kawasan tengah diharapkan mampu untuk memberikan kelebihan buat MU awal pagi nanti.

Rafael mungkin diketepikan dari kesebelasan utama bagi memberikan laluan kepada Jones untuk mengisi slot di posisi pertahanan kanan. Ini membolehkan Jones membantu Ferdinand dan Evans untuk menghadapi serangan bola tinggi WHU kerana bukan sahaja Carroll, malah beberapa pemain WHU turut memiliki susuk tubuh yang tinggi. Selain itu, pengurus WHU, Allardyce juga sememangnya diketahui gemar menggunakan taktikal bola tinggi sewaktu mengendalikan Bolton Wanderers dan Blackburn Rovers.

Carrick akan dipanggil semula ke kesebelasan utama dan akan beraksi di bucu bawah formasi 4-4-2 berlian MU. Formasi ini digunakan kerana ketiadaan pemain sayap setelah Nani dan Valencia mengalami kecederaan manakala Young akan direhatkan selepas aksi longlai yang ditunjukkan baru-baru ini. Di samping itu, Cleverly juga akan kembali beraksi kerana dalam dua perlawanan sebelum ini, Cleverly hanya memanaskan bangku simpanan sahaja.

Rooney akan diinjakkan ke bahagian tengah dan tempatnya di samping RVP di bahagian serangan akan diambilalih oleh Chicharito. Ketika perlawanan menentang QPR, Rooney, RVP dan Chicharito menunjukkan kesefahaman yang baik dan ini mampu menjadikan serangan MU lebih mengancam apabila bertemu dengan WHU.

Tugas penjaga gol MU akan diserahkan kembali kepada DDG selepas tidak beraksi dalam dua perlawanan sebelum ini. Walaupun Lindegaard beraksi dengan baik, tetapi DDG tampak lebih berkemampuan untuk mengawasi gawang MU sepertimana yang ditunjukkan pada pusingan kedua BPL pada musim lepas.

MU seharusnya tidak perlu meletakkan Giggs atau Scholes dalam kesebelasan utama bagi memastikan corak permainan MU sentiasa lancar dan bergerak pantas. Kedua-dua pemain senior ini mungkin boleh dimasukkan pada separuh masa kedua, itupun jika MU memerlukan pemain yang mampu untuk memperlahankan permainan atau mengawal bola secara kerap.


Kesebelasan utama:



Jangkaan perlawanan dan keputusan:

Dengan Rooney, RVP dan Chicharito diturunkan serentak dalam kesebelasan utama, aku melihat MU mampu untuk mengucar-kacirkan pertahanan WHU dengan mudah. Rooney dan RVP akan saling bertukar tempat bagi menggerakkan serangan manakala Chicharito membuat larian mangatasi perangkap 'offside'. Perlawanan awal pagi esok menyaksikan MU menumpaskan WHU 4-0 dengan gol-gol disumbangkan oleh Rooney, RVP dan Chicharito.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan