Isnin, 2 Julai 2012
Ulasan empat pasukan terbaik Euro 2012 - Jerman
Kali ini kita lihat pula pasukan Jerman yang dikatakan sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai Euro 2012, namun tersungkur di separuh akhir apabila tewas 0-2 di tangan Itali.
Mengekalkan Leow sebagai jurulatih sejak dari Piala Dunia 2010, Jerman turut menyenaraikan sebahagian besar muka-muka lama dari Piala Dunia 2010 untuk saingan Euro 2012. Jerman sememangnya diketahui akan dibarisi pemain yang kebanyakannya dari Bayern Munich dan selebihnya merupakan pemain penting dari Bayer Leverkusen dan juara Bundesliga, Borussia Dortmund.
Apa yang aku gemar tentang Jerman adalah keberanian jurulatihnya memberikan ruang kepada pemain-pemain muda untuk beraksi. Tindakan ini boleh dikatakan kesinambungan daripada Klinsmann sewaktu Jerman bersaing dalam Piala Dunia 2006 atau Euro 2008.
Jerman menjadi juara kumpulan D selepas berjaya mendapatkan sembilan mata maksima dengan menewaskan Portugal, Belanda dan Denmark. Dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan, Jerman dilihat mantap dalam semua bahagian dan formasi 4-3-3 yang digunapakai memberikan kelebihan buat Jerman.
Namun, barisan pertahanan Jerman yang dibarisi oleh Boateng, Lahm, Hummels dan Badstuber mempunyai kelemahan ketika berhadapan dengan situasi serangan balas pantas daripada pihak lawan. Jika dilihat gol yang dilepaskan ketika bertemu Denmark dan Belanda, Hummels dan Badstuber gagal berada di posisi sepatutnya untuk sekurang-kurangnya mengekang penyerang pasukan lawan.
Kelemahan pertahanan Jerman sekali lagi ditunjukkan dalam saingan suku akhir apabila Greece yang tidak mempunyai kekuatan serangan yang kuat mampu menjaringkan dua gol. Walaupun Jerman memenangi perlawanan suku akhir itu dengan keputusan 4-2, namun kelemahan tersebut memberikan ruang kepada Itali untuk mencari idea bagi merobek pertahanan Jerman.
Jerman yang melangkah ke separuh akhir selaku pasukan pilihan menentang Itali yang dikatakan beraksi tidak begitu baik dalam saingan kumpulan. Ternyata perkiraan Jerman salah di mana Itali berjaya menampilkan persembahan yang kemas dengan taktikal dan strategi yang menghampakan Jerman.
Menerusi dua serangan pantas, Itali berjaya memperoleh dua gol yang cukup berharga yang dijaringkan oleh Balotelli. Walaupun Jerman cuba bangkit selepas ketinggalan dua gol, namun Jerman gagal memecahkan kekebalan benteng Itali. Jerman sememangnya menguasai bahagian tengah menerusi gandingan tiga serangkai Ozil-Khedira-Schwiensteiger tetapi bahagian penyudah yang amat mengecewakan menyebabkan Jerman hanya mampu untuk sampai ke separuh akhir sahaja.
Dengan barisan permain muda dan memperoleh pengalaman yang cukup bermakna dalam Euro 2012, Jerman pasti dapat bangkit seterusnya akan memberikan persembahan yang lebih bertenaga pada Piala Dunia 2014 nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan